ALEIX Espargaro Umum Gantung Sut Lumba MotoGP Penghujung Musim 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/23/20242 min read

ALEIX Espargaro, pelumba paling veteran di grid MotoGP musim ini mengumumkan persaraannya dalam saingan elit perlumbaan dua roda dunia itu pada penghujung musim 2024.

Pelumba Aprilia Racing itu membuat pengumuman berkenaan menjelang Grand Prix Catalunya 2024 menerusi satu sidang media istimewa yang turut dihadiri Aprilia, rakan pelumba dan adiknya, Pol Espargaro.

Espargaro membuat keputusan berkenaan selepas beberapa kali memberi bayangan mengenai persaraannya sejak beberapa minggu lalu kepada umum.

Pelumba kelahiran itu menyertai kempen MotoGP pada tahun 2009 dan ini adalah musim ke-13 buatnya berlumba sebagai pelumba sepenuh masa.

Sepanjang itu, pelumba berusia 34 tahun itu sudah memenangi tiga perlumbaan - GP Argentina pada 2022, dan Silverstone serta Barcelona pada musim lalu bersama Aprilia.

Selain Aprilia, yang mula disertai pada tahun 2017, Espargaro pernah berlumba bersama pasukan ART (Aprilia), Suzuki dan Forward Yamaha.

"Ada begitu banyak pelumba-pelumba di dunia, di sini hari ini, yang menang lebih banyak berbanding saya," kata Espargaro. "Tetapi saya memberikan segala-gala yang saya ada.

"Saya bekerja dengan amat keras. Banyak kali, saya merasakan yang saya tidak mempunyai bakat seperti pelumba-pelumba lain. Tetapi dengan bekerja keras saya mencapai tahap yang tinggi.

"Dua atau tiga musim terakhir ini menakjubkan. Saya seperti bermimpi. Saya mahu bersaran sebagai pelumba sepenuh masa dengan perasaan yang hebat.

"Ia bukan minggu yang muda. Saya rasa seperti saya memasuki ke ruang yang amat aneh. Tetapi saya gembira. Harapnya pelumba-pelumba lain, yang ada ketika ini boleh membenarkan saya menang minggu ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya, Espargaro berkata keluarga menjadi antara sebab utama selain situasi yang menimpa adiknya, Pol Espargaro.

"Pelumba-pelumba yang ada di sini hari ini, mereka menunggu hari Rabu untuk menaiki penerbangan untuk berlumba. Ia adalah perkara paling utama dalam hidup mereka," katanya.

"Saya juga merasa seperti itu sebelum ini. Kini perasaan saya mungkin saya mahu kekal berada lebih lama di rumah. Saya suka untuk berada bersama anak-anak saya.

"Saya adil kepada diri saya. Jika kamu tidak fokus untuk menjadi pelumba MotoGP, ia sukar.

"Selepas Pol kemalangan, ia tidak mudah. Dia berdepan kemalangan yang besar. Dia berubah dengan banyak. Saya melihatnya lebih gembira. Saya tidak menjangkakannya.

"Apabila kamu tidak berlumba, kamu tidak mendapat kegembiraan di rumah. Tetapi dia amat gembira bersama keluarganya. Dia memberikan saya sebab untuk membuat keputusan ini."

Espargaro begitupun dijangka tidak akan meninggalkan MotoGP secara total dengan Aprilia berkemungkinan besar akan memberikan tugas sebagai pelumba ujian dan 'wildcard' kepadanya.