ALEX Kini Pencabar Utama - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/16/20252 min read

PELUMBA yang menyapu bersih kedua-dua gelaran juara di Grand Prix (GP) Argentina 2025, Marc Marquez tidak lagi berselindung dan melabel adiknya, Alex Marquez sebagai pencabar utamanya bagi menjulang gelaran dunia MotoGP musim ini.

Perlumbaan di Termas de rio Hondo tampak seperti mengulangi perlumbaan di Buriram apabila Marc terlepas kedudukan pendahulu di awal perlumbaan sebelum merampas semula kedudukan itu di saat akhir.

Tetapi apa yang menjadi perbezaan adalah juara dunia lapan kali itu tidak berdepan risiko penalti namun melakukan kesilapan yang membenarkan Alex merampas kedudukan berkenaan.

Dan selepas sentiasa memberi tekanan kepada adiknya itu, Marc akhirnya berjaya merampas kedudukan pendahulu ketika perlumbaan berbaki 5 pusingan.

Ketika ditanya adalah dia memberikan 'peluang' kepada adiknya, Marc yang kini memiliki kelebihan 16 mata di depan adiknya berkata ia tidak seperti itu.

"Apabila kamu melepasi usia 20 tahun, 22 tahun, ia menjadi setara!," kata Marquez memetik laporan Crash.net.

"Tetapi saya amat kagum dengan Alex mengenai gaya tunggangannya. Dia amat lancar. Dan saya tahu yang apabila dia amat yakin, dia mampu menjuarai gelaran dunia, seperti dia lakukan di Moto3 dan Moto2.

"Jadi pada akhirnya dia adalah pencabar utama saya di MotoGP ketika ini. Malah ada masanya ketika perlumbaan saya berfikir untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua kerana dia menunggang amat lancar, amat bagus dan sentiasa mengekalkan kelajuan ketika mengambil selekoh.

"Apa yang saya cuba katakan adalah tayarnya tidak berasap. Jadi saya berkata, 'Ok', lelaki ini pada hari ini berada di tahap berbeza."

Marc turut mendedahkan yang berada di belakang Alex ketika perlumbaan bukan perancangannya dan dia perlu mengambil risiko yang besar untuk memintas Alex.

"Pada akhirnya saya berjaya selamat. Saya mengambil risiko, seperti yang kamu lihat, saya mengambil banyak risiko, mungkin terlalu banyak pada satu ketika.

"Rancangannya adalah cuba untuk memimpin saingan sepanjang perlumbaan," katanya. "Malah sebelum perlumbaan, apa yang kami bincangkan adalah 'jika kamu berada di belakang kekal di sana dan pada pusingan ke-12, 14, saya akan menyerang.

"Dan dia berkata 'Ok', saya akan melakukan perkara yang sama. Perkara paling penting adalah kami amat jujur antara satu sama lain. Dia akan menang, beberapa perlumbaan, lebih daripada satu. Jadi saya akan menjadi amat gembira. Dan jika saya menang, saya juga gembira."