ALEX Marquez Dah Tahu Akan Menang Bila Marc Jatuh
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/28/20251 min read


ALEX Marquez mengakui perasaannya bercampur baur apabila abangnya Marc Marquez terjatuh ketika perlumbaan Grand Prix Sepanyol 2025 yang menyaksikannya memenangi saingan kelas elit itu buat pertama kali.
Selepas enam musim di MotoGP dan sentiasa dibayangi Marc, Alex akhirnya muncul juara yang boleh dikatakan turut 'dibantu' kemalangan yang dihadapi abangnya itu.
Dan ia diakui bekas juara Moto3 dan Moto2 itu yang beraksi bersama pasukan satelit Gresini Ducati dengan keputusan terbaiknya di MotoGP sebelum ini adalah tujuh kali naib juara sehingga digelar 'Mr P2'.
"Apabila saya lihat Marc jatuh, saya kata, 'Ok', hari ini adalah hari kamu," kata Alex. "Saya tahu apabila Marc masih ada di trek, peluang saya tetap ada. Tetapi tanpanya, saya adalah yang paling kuat.
"Apabila Marc hilang cengkaman tayar depannya, saya berkata pada diri sendiri, 'Tidak!', kerana dia cuba untuk menyelamat keadaan sebelum hilang.
"Dan ketika itu, ia seperti 'klik', dia mengaktifkan saya dengan cara cukup baik. Saya berkata, 'Ia adalah hari kamu, kamu tidak boleh kehilangan lagi pelumba seperti di Austin.
"Jadi saya merasa sedih terhadap Marc untuk 0.5 saat! Dan kemudian saya fokus terhadap perlumbaan saya."
Selepas melihat Marc terjatuh, Alex yang ketika itu berada di kedudukan ketiga memberikan tumpuan penuh untuk memintas dua pelumba di depannya iaitu Francesco Bagnaia dan Fabio Quartararo dari Yamaha.
Dan selepas mengambil alih kedudukan itu pada pusingan ke-11, Alex tidak lagi memandang ke belakang dan melepasi garisan penamat sebagai juara.
"Saya sudah pun cukup beremosi pada sektor terakhir. Mungkin Fabio dan Pecco ada laluan yang mudah di MotoGP. Saya pula berdepan beberapa tahun yang sukar," katanya.
