ALEX Marquez Dedah 'Mustahil' Nak Kalahkan Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/2/20251 min read

ALEX Marquez pada satu ketika tampak berpeluang untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) di GP Thailand 2025 di depan abangnya, Marc Marquez sebelum terpaksa melepasi garisan penamat sebagai naib juara.

Selepas Marc melepaskan kedudukan sebagai pendahulu pada pusingan ke-7, pelumba pasukan Gresini Ducati itu memimpin perlumbaan sebelum kembali dipintas pada selekoh terakhir pusingan ke-23.

Mengakui aksi di Thailand masih salah satu perlumbaan terbaik dalam kariernya di MotoGP selepas dua kali bergelar naib juara, Alex berkata dia hanya memerlukan dua selekoh untuk menyedari tidak akan bergelar pemenang di Buriram.

"Tidak," kata Alex ketika ditanya sama ada dia terfikir boleh memenangi perlumbaan. "Jentera saya banyak bergerak, kehilangan banyak prestasi (ketika pecutan) dan saya menyedari yang keupayaan tayar saya sedikit rendah, tetapi saya cuba terus memberikan tekanan sehingga akhir.

"Saya tahu yang saya menggunakan tayar belakang lebih banyak berbandingnya (Marc) kerana saya memimpin perlumbaan dan cuba untuk menggunakan kelajuan saya, jadi saya hanya cuba untuk fokus sehingga akhir.

"Tetapi apabila dia memintas saya, selepas dua selekoh saya menyedari yang adalah mustahil untuk mengikutinya dan saya cuba mengawal keadaan sehingga penamat, memberikan tekanan sehingga penamat dan mengekalkan Pecco (Bagnaia) di belakang saya."

Selepas menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat kedua, Alex ketika ini turut menghuni kedudukan kedua dalam carta kejuaraan yang menjadi kedudukan terbaik kariernya di MotoGP.

Dan Alex turut mengakui apa yang dilakukannya di Thailand sebagai 'mimpi jadi kenyataan' selepas dia dan abangnya menamatkan saingan 1-2 ketika kelayakan, Sprint dan perlumbaan GP dan mengghuni kedudukan 1-2 dalam carta pelumba, pertama dalam sejarah MotoGP.

"Ia seperti mimpi. Kami perlu berusaha untuk mengekalkan mimpi ini lebih panjang, jadi kami akan memberikan semaksimum mungkin, cuba untuk menikmatinya seperti yang kami lakukan dalam rancangan latihan kami dan semua kerja lain.

"Segala kerja keras akan berbaloi apabila kami mendapat keputusan. Tiada sebarang ayat untuk menggambarkan bagaimana perasaan kamu apabila kamu berkongsi podium dengan abang kamu.

"Memulakannya seperti ini adalah sesuatu yang amat bagus," kata Alex. "Jika kamu berkata kepada saya sebelum minggu ini yang 'kamu akan mendapat tempat kedua di Sprint dan GP', saya menerimanya."