ALEX Marquez Lebur Dominasi Aprilia

Kejayaan Alex Marquez di Litar Jerez itu bukan sahaja menamatkan kemarau kemenangan Ducati yang kali terakhir diraih pada GP Malaysia tahun lalu, malah memecahkan rentetan lima kemenangan berturut-turut pendahulu kejuaraan dari Aprilia, Marco Bezzecchi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/26/20262 min read

PELUMBA Gresini Ducati, Alex Marquez meleburkan penguasaan Aprilia dan menghadiahkan kemenangan sulung buat Ducati bagi kempen Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2026 pada Grand Prix (GP) Sepanyol, hari ini.

Lebih manis, kejayaan di Litar Jerez itu bukan sahaja menamatkan kemarau kemenangan Ducati yang kali terakhir diraih pada GP Malaysia tahun lalu, malah memecahkan rentetan lima kemenangan berturut-turut pendahulu kejuaraan dari Aprilia, Marco Bezzecchi.

Tampil dominan, Alex yang menunggang jentera Ducati GP26 itu melintasi garisan penamat dengan kelebihan 1.9 saat (s) di hadapan Bezzecchi, sekali gus berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya di litar sama pada musim lalu.

Begitupun, perlumbaan 25 pusingan itu menghadirkan kekecewaan buat abangnya yang juga penyandang juara dunia, Marc Marquez, apabila pelumba pasukan Ducati Lenovo itu terbabas pada awal saingan.

Marc yang bermula dari petak pertama dan memburu kemenangan berganda selepas menjuarai perlumbaan pecut secara dramatik sehari sebelumnya, terjatuh di Selekoh 11 pada pusingan kedua sejurus dipintas oleh Alex.

Insiden itu menandakan kegagalan menamatkan perlumbaan (DNF) kedua buat Marc pada hari Ahad bagi musim 2026, manakala rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia turut tersingkir berikutan masalah teknikal, sekali gus meneruskan kemarau podium buat pasukan kilang Ducati itu.

Melengkapkan podium di Jerez adalah satu lagi jentera Ducatu menerusi pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio.

Rakan sepasukan Bezzecchi, Jorge Martin di kedudukan keempat selepas pelumba Sepanyol itu terpaksa berhempas-pulas bangkit dari petak ke-10 akibat penalti.

Biarpun gagal meraih kemenangan, Bezzecchi terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan kelebihan 11 mata di hadapan Martin, manakala kejayaan menaiki podium melonjakkan Di Giannantonio ke tangga ketiga keseluruhan selaku pelumba terbaik Ducati setakat ini.

Dalam pada itu, pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura mempamerkan kebangkitan lewat untuk melengkapkan kedudukan lima terbaik di hadapan rakan sepasukannya, Raul Fernandez, manakala Johann Zarco dari LCR Honda menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Sepanyol 2026

  1. Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP26), 40m 48.861s

  2. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP26), +1.903s

  3. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP26), +5.796s

  4. Jorge Martin (SPA) Aprilia Racing (RS-GP26), +9.229s

  5. Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP26), +9.891s

  6. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP26), +10.614s

  7. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +13.039s

  8. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +14.411s

  9. Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP25), +19.778s

  10. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +22.431s

  11. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +22.799s

  12. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +24.867s

  13. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +26.871s

  14. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +29.532s

  15. Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +29.899s

  16. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +32.921s

  17. Diogo Moreira (BRA) Pro Honda LCR (RC213V), +36.656s

  18. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +37.577s

  19. Toprak Razgatlioglu (TUR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +44.557s

  20. Augusto Fernandez (SPA) Yamaha Factory Racing (YZR-M1), +65.023s

Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP26), DNF

Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Test Rider (RS-GP26), DNF

Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP26), DNF