ALEX Marquez Nafi 'Tak Garang' Ketika Lawan Marc Marquez

Pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez menolak dakwaan dia sengaja 'mengendurkan' tekanan apabila dia bersaing dengan abangnya, Marc Marquez dalam perlumbaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/27/20251 min read

TIMBUL kata-kata nakal yang menyatakan pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez sengaja 'mengendurkan' tekanan apabila dia bersaing dengan abangnya, Marc Marquez.

Dan dakwaan itu dinafikan Alex sekali pun dia pada musim ini menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Marc sebanyak 12 kali.

Menunggang jentera Ducati GP24, Alex sedang menikmati detik terbaik dalam kariernya di MotoGP apabila meraih enam kedudukan podium termasuk kemenangan di Jerez dan sembilan kedudukan podium perlumbaan Sperint.

Begitupun, hanya tiga kali pelumba kelahiran Sepanyol itu menamatkan perlumbaan lebih baik berbanding abangnya iaitu di COTA, Jerez yang menyaksikan Marc melakukan kesilapan dengan satu-satunya kemenangan membabitkan 'pertarungan' adalah di Silverstone.

"Untuk bersaing merebut kejuaraan dengan pelumba seperti Marc tidak pernah mudah," kata Alex. "Dia menunggang jentera 'kilang'. Jangan lupa yang saya adalah pelumba pasukan satelit dengan menunggang jentera tahun lalu.

"Sentiasa sukar untuk bersaing dengannya. Apa yang saya boleh buat adalah untuk kekal konsisten dan cuba untuk tidak melakukan kesilapan.

"Seperti saya cakapkan, apabila saya mempunyai peluang untuk menewaskannya atau menang, saya akan melakukannya, seperti yang saya lakukan pada setiap perlumbaan.

"Orang berkata, 'kamu tidak menyerangnya dengan cara yang sama'. Apabila dia laju, kamu tidak boleh melakukannya.

"Kamu menyerang pelumba di depan jika mereka lebih perlahan. Jika mereka lebih laju, kamu tidak mempunyai peluang untuk memintas mereka.

"Saya akan mencuba yang terbaik. Saya akan cuba untuk menjulang kejuaraan. Saya juga akan cuba untuk berada di sana pada setiap minggu dan melakukan tugas saya. Kemudian kita akan lihat apa keputusannya," kata Alex yang ketinggalan 40 mata di belakang Marc menuju GP Belanda minggu ini.