ALEX Marquez Tak Kisah Dilabel 'Mr P2'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/31/20251 min read

ALEX Marquez meneruskan deretan enam kedudukan di tempat kedua berakhir Grand Prix Amerika Syarikat tetapi menariknya turut mengambil alih kedudukan pendahulu kejuaraan MotoGP 2025 daripada abangnya, Marc Marquez.

Selepas Marc terjatuh, Alex dari Gresini Ducati yang ketika itu berada di posisi kedua di belakang Francesco Bagnaia pada satu ketika cuba untuk mencabar pelumba Ducati Lenovo itu.

Begitupun, usahanya tidak berjaya dan terpaksa berpuas hati sebagai pemenang tempat kedua di belakang Bagnaia.

Pelumba VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio melengkapkan kedudukan podium.

Mengulas keputusan yang diperolehnya, Alex tampak berpuas hati dengan keputusan tempat kedua yang diperolehnya buat kali keenam berturut-turut sehingga dilabel 'Mr P2'.

"Jika kamu kata kepada saya sebelum perlumbaan pertama, 'Kamu akan mendahului carta kejuaraan', saya akan berkata, 'Kamu gila!'," kata Alex.

"Kami adalah 'Mr P2', tetapi saya gembira dengan perkara itu! Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan P2 dari sekarang sehingga penamat.

"Kami harus menikmati tempoh ini. Kami tahu apa yang kami miliki, kami perlu mengharungi perlumbaan seperti yang kami lakukan dan cuba untuk mengekstrak potensinya 100 peratus.

"Saya akan cuba untuk terus seperti ini."

Keputusan di Austin menyaksikan Alex kini mengumpul 87 mata, memiliki kelebihan 1 mata berbanding Marc dengan Bagnaia mengisi tempat ketiga dengan 75 mata.