ALEX Marquez Terpantas Hari Pertama GP Thailand 2025, Bagnaia Terlepas Q1!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/28/20251 min read

PELUMBA Gresini Ducati, Alex Marquez melakukan catatan terpantas pada sesi latihan bebas 2 Grand Prix (GP) Thailand 2025 ketika naib juara dunia MotoGP musim lalu, Francesco Bagnaia terlepas slot terus ke Kelayakan 2 (Q2) apabila melakukan catatan ke-13 terpantas.

Rakan sepasukan Bagnaia di Ducati Lenovo, Marc Marquez yang juga abang kepada Alex begitupun mengekalkan prestasinya dengan melakukan catatan ke-2 terpantas.

Tetapi Alex yang mendominasi ujian pra-musim terus mencuri perhatian apabila memacu jentera Ducati GP24 selepas melakukan catatan 1 minit 29.020 saat (s) di saat akhir dengan Marc 0.052s lebih perlahan.

Ducati begitupun tidak dapat mendominasi tiga catatan terpantas apabila kedudukan itu diisi pelumba Red Bull KTM, Pedro Acosta menerusi jentera KTM RC16.

Catatan ke-4 terpantas dilakukan pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi diikuti pelumba VR46 Ducati, Franco Morbidelli yang turut mencipta 'panas' selepas terbabit 'insiden' dengan Bagnaia.

Sekalipun berjaya melakukan catatan yang membolehkannya layak ke Q2, catatan itu yang dilakukan di saat-saat akhir dibatalkan steward susulan peraturan Bendera Kuning selepas Marco Bezzecchi berdepan kemalangan.

Dan percubaan terakhirnya untuk melakukan catatan terpantas kemudian terhalang apabila Morbidelli memperlahankan jenteranya di laluan perlumbaan di selekoh 5.

Situasi itu menyaksikan pelumba kelahiran Itali itu terpaksa menyertai Q1 pada Sabtu dengan Morbidelli dikenakan hukuman penalti tiga grid perlumbaan.

Honda turut mempunyai dua pelumba dalam Q2 menerusi Joan Mir (Honda HRC Castrol) yang melakukan catatan ke-6 terpantas dan Johann Zarco (Castrol Honda LCR) di kedudukan 10 terpantas.

Pelumba pasukan bukan 'kilang' terbaik diisi Raul Fernandez (Trackhouse Aprilia) yang melakukan catatan ke-7 terpantas diikuti Fabio Quartararo (Monster Yamaha) yang mencatatkan masa ke-8 terpantas.

Ai Ogura dari Jepun muncul pelumba 'rookie' terbaik dan melayakkan diri ke Q2 secara terus selepas melakukan catatan ke-9 terpantas.