ALEX Rins Beri Petunjuk Pramac Hampir Pasti Sertai Yamaha

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/27/20241 min read

PRAMAC Racing sebelum ini pernah mendakwa laporan pasukan itu akan menyertai Yamaha hanyalah 'khabar angin' tetapi berdasarkan kata-kata terbaharu daripada Alex Rins, ia mungkin berbeza.

Menjelang GP Belanda 2024 hujung minggu ini, Sky Italia melaporkan pasukan satelit rasmi Ducati itu akan mengumumkan perubahan pengeluar daripada Ducati ke Yamaha dalam tempoh terdekat.

Dan sekalipun tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak yang terbabit, kata-kata pelumba Monster Yamaha MotoGP, Rins boleh dijadikan sebagai petunjuk.

"Tidak dramatik," kata Rins ketika diminta mengulas mengenai situasi perpindahan pelumba ketika ini. "Maksud saya... menarik, ia boleh dikatakan seperti itu. Akan ada banyak perubahan tahun depan.

"Juga mungkin, dalam beberapa jam saja lagi atau beberapa hari, seseorang akan mengumumkan dua lagi jentera 'kilang' di atas grid...

"Ia perkara yang bagus untuk kami. Kami boleh berkembang, kami boleh menambahbaik jentera kami. Menarik..."

Yamaha ketika ini sememangnya mengharapkan kehadiran pasukan satelit bagi memacu kebangkitan pasukan itu. Kami terakhir pengeluar Jepun itu mempunyai pasukan satelit adalah pada 2022 menerusi pasukan RNF Racing.

Dan kehadiran pasukan satelit bermakna Yamaha mempunyai dua pelumba tambahan untuk disenaraikan pada musim 2025.

Mengulas mengenai situasi membabitkan kontraknya, Rins yang masih menandatangani kontrak lanjutan bersama Yamaha berkata pasukannya sedang mengusahakan sesuatu.

"Saya mempunyai peluang," katanya. "Saya amat bersyukur. Kami melakukan kerja yang baik dengan mereka, keseluruhan pasukan, untuk meningkatkan kemampuan jentera.

"Tetapi ini (kontrak) adalah kerja untuk pengurus saya, dan bukan saya! Jadi kita akan lihat apa yang akan berlaku."