ALEX Rins 'Bikin Panas' Lagi, Dedah Yamaha Guna Enjin V4 Tahun Depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/8/20241 min read

PELUMBA Monster Yamaha, Alex Rins sekali lagi mencipta 'panas' apabila mendedahkan enjin baharu berkonfigurasi V4 pengeluar itu di MotoGP akan boleh digunakan pada tahun 2025.

Yamaha ketika ini menjadi satu-satunya pengeluar yang menggunakan enjin berkonfigurasi 4 Silinder Sebaris di MotoGP sejak era empat lejang diperkenalkan pada 2002.

Pengeluar Jepun itu tidak lagi bersembunyi yang mereka sedang membangunkan enjin V4 dalam usaha mempercepatkan kebangkitan mereka di MotoGP. Begitupun, tiada sebarang petunjuk bila ia akan diperkenalkan.

"Sudah tentu kami tidak akan mempunyai enjin V4 bagi baki perlumbaan musim ini," kata Rins yang memperoleh tempat ke-16 pada perlumbaan MotoGP di Motegi, minggu lalu memetik laporan Crash.net.

"Tetapi kami bertuah kerana jika segala-galanya berjalan dengan baik, mungkin kami boleh menerimanya pada pertengahan musim depan.

"Tetapi ia adalah projek yang berbeza, kami perlu mencari sekurang-kurangnya sesuatu sebelum itu."

Bekas pelumba Suzuki itu turut menyuarakan kebimbangannya mengenai kekurangan cengkaman di bahagian belakang Yamaha M1 ketika ini - situasi yang turut dihadapi rakan sepasukannya, Fabio Quartararo dan pelumba 'wildcard' di Jepun, Remy Gardner.

"Kami semua bergelut dengan perkara yang sama. Tiada cengkaman, bahagian belakang terangkat (ketika membrek)," kata Rins. "Mungkin Fabio mempunyai lebih sentuhan di belakang di beberapa kawasan membrek.

"Mungkin dia mempunyai pelarasan yang lebih baik berbanding kami. Apa saya cuba katakan dia mempunyai banyak pengalaman bersama jentera. Tetapi saya tidak mahu mencari alasan. Dia (Quartararo) lebih pantas berbanding Remy dan saya. Jadi kami perlu mencari sesuatu."