ALEX Rins Dah Boleh Tunggang Yamaha M1 Dengan 'Selesa'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/15/20251 min read

PELUMBA Monster Yamaha, Alex Rins mungkin tidak begitu menyerlah ketika ujian pra-musim MotoGP kali ini tetapi ia tidak memberi gambaran yang menyeluruh terhadap kemampuan jentera Yamaha M1.

Pada ujian terakhir di Buriram, pelumba kelahiran Sepanyol itu merekod catatan ke-17 terpantas selepas melakukan 1 minit 30.062 saat (s).

Ia jelas tidak boleh dibanggakan dengan catatan itu 1.207s lebih perlahan berbanding dilakukan pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez yang melakukan catatan terpantas.

Malah, ia juga jauh daripada catatan terpantas dilakukan rakan sepasukannya, Fabio Quartararo yang melakukan 1:29.586s.

Di sebalik apa yang terjadi, bekas pelumba Suzuki dan Honda itu begitupun mengakui selesa dengan kelajuan yang dijana M1 dan percaya kemas kini terbaharu membantunya dari sudut membrek.

"Ujian di Sepang dan Buriram berjalan dengan baik. Kami menguji banyak, banyak benda baharu. Kebanyakan daripadanya adalah yang kami gunakan ketika ini jadi saya boleh kata yang saya menambah baik asas jentera ini," kata Rins.

"Saya mampu menunggang dengan lebih selesa, dan melakukan kurang kesilapan berbanding tahun lalu. Jadi saya gembira. Saya rasa agak bersedia untuk memulakan musim.

"Sudah tentu kami perlu terus bekerja untuk melakukan catatan terpantas sepusingan. Malah saya merasakan yang kami masih jauh daripada sudut ini.

"Saya boleh katakan yang kami boleh pergi bawah 1:30s. Jadi kita akan lihat pada minggu perlumbaan kami boleh mencari sesuatu kerana dari sudut kelajuan, kami berada dalam keadaan baik."

Mengulas lanjut mengenai penambahbaikkan di bahagian brek, Rins menjelaskan ia merasa lebih selesa.

"Saya boleh menghentikan jentera saya dengan cara lebih baik. Tetapi seperti saya katakan, ketika ujian masa terpantas ia masih sukar untuk mengharungi selekoh bersama jentera ini.

"Tetapi jika dibandingkan dengan tahun lalu di mana saya amat bergelut ketika melakukan brek di laluan lurus, dengan bahagian belakang terangkat, kami menambahbaik perkara ini," katanya.