ALEX Rins Kekal Di Yamaha

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/2/20241 min read

ALEX Rins menandatangani kontrak lanjutan bersama Yamaha yang menyaksikannya kekal sebagai pelumba pasukan 'kilang' Monster Yamaha bagi musim 2025 dan 2026.

Perkembangan itu menyaksikan teka-teki terakhir membabitkan pasukan berstatus 'kilang' di MotoGP musim depan berakhir dengan Rins menjadi pelumba terakhir melengkapkan senarai berkenaan.

Rins yang menyertai Monster Yamaha musim ini daripada pasukan satelit Honda LCR hanya menandatangani kontrak selama semusim sebelum ini.

Dan sekalipun keputusan terbaiknya musim ini hanyalah di kedudukan ke-13, ia sudah cukup untuk menyakinkan Yamaha untuk mengekalkannya yang sudah beberapa kali menaiki podium sebagai juara bersama Suzuki dan Honda.

"Saya amat gembira untuk terus bekerja bersama Yamaha untuk dua tahun lagi dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan dan pengurusan di Iwata atas kepercayaan mereka kepada saya," kata Rins.

"Kami mempunyai sasaran yang jelas, untuk membawa Yamaha kembali ke tempat yang sepatutnya, dan ia adalah untuk bersaing merebut kejuaraan.

"Sejak minit pertama, saya melihat keinginan Yamaha untuk bertambahn baik dan bagaimana mereka menggunakan segala sumber mereka untuk mencapai objektif itu."

Yamaha dalam pada itu menyatakan Rins yang kembali beraksi di Silverstone selepas terlepas GP Jerman susulan kecederaan berkata mereka berpuas hati dengan apa ditampilkan pelumba Sepanyol itu setakat ini.

"Kami gembira untuk mengumumkan yang Alex Rins akan meneruskan tugasnya sebagai pelumba pasukan 'kilang' Yamaha untuk tempoh dua tahun lagi," kata Pengarah Urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis.

"Tandatangan Alex untuk dua tahun akan datang adalah perkara penting dalam pelan kami untuk projek MotoGP.

"Alex bukan saja pelumba yang amat berbakat dan laju, tetapi dia juga amat bagus dari sudut teknikal, bekerja keras dan seorang yang mempunyai semangat berpasukan.

"Kerjasama dengan Alex dan Fabio (Quartararo) memberikan Yamaha keyakinan yang bersama-sama mereka boleh menguatkan projek pembangunan jentera. Kini barisan pelumba Monster Yamaha 2025-26 sudah lengkap, dan kami memberikan fokus penuh kepada baki 11 pusingan musim 2024 bersama Alex dan Fabio."