ALEX Rins Kembali Beraksi di Silverstone
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/31/20241 min read


ALEX Rins yang terlepas aksi Grand Prix (GP) Jerman 2024 susulan kecederaan ketika GP Belanda sah kembali memacu jentera Yamaha M1 di Grand Prix (GP) British minggu ini.
Pelumba pasukan Monster Yamaha, Rins terpaksa mengharungi pembedahan susulan kecederaan patah tulang yang diterimanya di Assen.
Sekalipun terlepas aksi di Jerman, pelumba kelahiran Sepanyol itu hanya terlepas satu pusingan mengikuti cuti rehat musim panas MotoGP selama tiga minggu yang turut dijadikannya medan untuk meraih kembali kecergasan.
Menuju aksi di Silverstone, Rins memang mempunyai kenangan indah di venue berkenaan hasil kemenangan menakjubkan ketika bersama Suzuki pada 2019 dengan menewaskan Marc Marquez menerusi keputusan 'photo finish'.
"Bagus untuk kembali selepas tempoh pemulihan," kata Rins. "Perasaan saya bagus. Rehat selama tiga minggu membantu saya untuk bersedia pada minggu ini.
"Saya mempunyai masa untuk melakukan latihan sekali lagi, jadi saya tiba di UK bersedia untuk menunggang M1.
"Saya tidak sabar untuk berlumba di Silverstone. Ia adalah litar yang saya amat gemari, jadi saya merasakan ia adalah tempat yang baik untuk membuat kebangkitan.
"Ia juga pusingan yang penting untuk Monster Energy, dan perayaan sambutan ulangan tahun ke-75 menambah lagi rasa pesta untuk permulaan bagi separuh kedua musim ini."
Di Silverstone, Rins tidak akan beraksi berdua bersama Fabio Quartararo namun turut ditemani pelumba 'Wildcard', Remy Gardner yang menggantikan pelumba ujian Yamaha, Cal Crutchlow.
