ALEX Rins Percaya Jadi Bapa Takkan 'Perlahankannya', Yakin Mampu Kembalikan Yamaha Ke Puncak MotoGP!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/3/20241 min read

PELUMBA Sepanyol, Alex Rins percaya yang Yamaha mampu kembali ke puncak MotoGP dan bergelar bapa membuatkan prestasinya bertambah baik.

Rins menyertai Yamaha bagi musim 2024 selepas mengharungi kempen mengecewakan bersama pasukan satelit Honda, LCR selain dipalit masalah kecederaan serius.

Pelumba berusia 28 tahun itu sekali lagi akan bergandingan dengan bekas juara dunia dan kali ini, pelumba Perancis Fabio Quartararo yang menjulang gelaran dunia MotoGP pada 2021.

"Pasti sesuatu yang amat menarik untuk bergandingan dengannya. Dia (Quartararo) pelumba yang amat laju, dan saya percaya, bersama-sama, kami akan menjadi kuat," kata Rins memetik laporan Marca.

"Pada pendapat saya, memiliki rakan sepasukan yang juga bekas juara, dan pasukan yang menyokong kamu, ia amat mustahak."

Di Yamaha, Rins akan turut bekerjasama dengan 'Telemetrist' atau penganalisa data yang pernah bergandingan dengannya ketika di Suzuki.

"Saya mahu membawa seseorang dengan saya yang saya percaya. Dengan cara ini, saya boleh bersaing untuk mendapatkan posisi terbaik dengan pantas. Itu adalah apa yang saya harapkan."

Mengulas mengenai kehidupan peribadinya, Alex menegaskan yang bergelar bapa akan membuatkannya lebih bersemangat.

"Memiliki anak membantu saya, dan tidak betul yang kamu akan menjadi perlahan. Saya bertuah kerana mendapat sokongan daripada keluarga saya dan ini membenarkan saya untuk menjadi lebih fokus dan beraksi dengan lebih baik," katanya.