ALEX Rins Tak Mahu Guna 'Set-up' Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/3/20241 min read

PELUMBA Yamaha MotoGP, Alex Rins menegaskan sudah tiba masanya dia menggunakan pelarasan sendiri berbanding mengadaptasi pelarasan rakan sepasukannya, Fabio Quartararo.

Selepas mengharungi dua pusingan perlumbaan musim ini sebagai pelumba Yamaha, tiada keputusan membanggakan berjaya dicapai bekas pelumba Suzuki dan Honda itu setakat ini.

Dan selepas melepasi garisan penamat di Grand Prix Portugal 30 saat di belakang pemenang, Jorge Martin dan 10 saat di belakang Quartararo, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui sesuatu perlu berubah.

"Dua perlumbaan - Qatar, Portimao - perkara tidak berlaku seperti yang saya jangkakan," kata Rins yang menamatkan aksi di Qatar di tangga ke-16 dan ke-10 di Portimao memetik laporan Crash.net.

"Kami perlu bekerja lebih sedikit secara bersendirian. Apa yang ingin saya katakan, (hingga kini), lebih atau kurang kami melakukan perubahan yang kecil kepada jentera, tetapi fokus kepada pelarasan yang Fabio gunakan.

"Selepas perlumbaan ini, saya menyedari yang saya perlu melakukan sesuatu yang berbeza kepada jentera saya, kerana (di Portimao) saya mempunyai masalah yang sama seperti perlumbaan di Qatar.

"Saya banyak bergelut dengan bahagian depan selepas melepaskan brek dan mula memulas terotel. Saya bergelut untuk mengambil selekoh. Saya tidak merebahkan badan.

"Di pertengahan perlumbaan, saya cuba mengubah corak tunggangan saya dengan jentera. Untuk melihat sama ada saya mampu meletakkan lebih beban di bahagian depan.

"Tetapi ia tidak mencukupi. Jadi nampaknya kami memerlukan lebih berat di bahagian depan bagi membolehkan jentera mengambil selekoh."

Yamaha pada awalnya dijadual mengharungi sesi ujian persendirian di Portimao selepas GP Portugal namun ia tidak berlaku berikutan hujan lebat yang turun di Portimao.

"Mungkin kami perlu fokus kepada pelarasan lebih berbanding komponen baharu, kerana saya tidak begitu gembira," katanya. "Ia bukan kesalahan pasukan, ia bukan kesalahan jentera. Ia hanya perlumbaan kedua kami.

"Kami perlu membiasakan diri dengan jentera. Kami perlu memahaminya. Dan kami mempunyai kerja untuk dilakukan."

Perlumbaan Pusingan 3 dijadual berlangsung di COTA, Amerika Syarikat, lokasi di mana Rins membuat kejutan dengan memenangi perlumbaan bersama LCR Honda musim lalu.