ALPINESTARS S‑R10 Asia Fit Rasmi Di Malaysia, Mula RM 3,999!

Dibangunkan selama lebih sedekad, Alpinestars S-R10 bukanlah topi keledar biasa namun sarat dengan 'DNA' sukan permotoran dua roda nombor satu dunia iaitu MotoG

PELANCARAN

6/6/20261 min read

ALPINESTARS Malaysia menamatkan penantian peminat tempatan apabila membawa masuk secara rasmi helmet perlumbaan paling canggih jenama pengeluar kelengkapan menunggang terkemuka global itu yang diinovasi daripada teknologi MotoGP, Alpinestars Supertech R10 (S-R10).

Apa yang menarik, model yang dibawa masuk tampil dengan spesifikasi 'Asia Fit' yang direka secara khusus bagi memadankan profil bentuk kepala rakyat Malaysia, sekali gus menjamin keselesaan dan padanan yang lebih sempurna.

Dibangunkan selama lebih sedekad, Alpinestars S-R10 bukanlah topi keledar biasa namun sarat dengan 'DNA' sukan permotoran dua roda nombor satu dunia iaitu MotoGP.

Dan ia diuji secara ekstrem di atas litar oleh barisan bintang MotoGP antaranya juara dunia MotoGP 2024 Jorge Martin, Jack Miller, Pedro Acosta dan Andrea Dovizioso.

Untuk perlindungan dan kualiti yang maksimum, cengkerang Alpinestars S-R10 diperbuat daripada bahan karbon termaju yang menggabungkan karbon ketumpatan tinggi 3K, gentian aramid, dan gentian kaca.

Pembinaan berteknologi tinggi ini memastikan penyebaran tenaga impak yang unggul serta melepasi piawaian ketat ECE 22.06 dan mendapat pensijilan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Malah, gabungan teknologi lapisan dalaman Multi-density EPS dan permukaan geseran rendah membolehkannya menawarkan 65 peratus peningkatan prestasi dalam pengurusan impak putaran bagi melindungi otak dan leher penunggang ketika kemalangan.

Dari segi aerodinamik, sistem dua spoiler dan 'winglets' pada Alpinestars S-R10 berfungsi mengurangkan seretan udara, sekali gus memberi kestabilan optimum ketika jentera memecut pada kelajuan tinggi di litar mahupun di jalan raya.

Menyentuh aspek keselesaan versi 'Asia Fit', ia disokong oleh kemasan pelapik premium Coolmax® serta Sistem Pelarasan A-Head berpaten yang membolehkan pelarasan ketinggian dan sudut topi keledar dibuat secara terperinci.

Sejumlah 11 corong pengudaraan strategik turut mengelakkan bahang, ditambah dengan saluran hidrasi minuman pada pad pipi khusus untuk tunggangan jarak jauh.

Bagi pasaran tempatan, Alpinestars S-R10 ditawarkan pada harga RM 3,999 untuk warna asas (plain) dan RM 4,799 bagi versi grafik.

Pembelian pakej grafik didatangkan dengan set lengkap 'sedia untuk berlumba' merangkumi dua visor (cerah dan dark smoke), spoiler jalanan dan perlumbaan yang boleh ditukar ganti, kanta Pinlock 120XLT, filem tear-off, pemesong angin serta beg topi keledar premium.