ALVARO Bautista Dah Terima Arahan Pasukan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/1/20241 min read


ALVARO Bautista yang memenangi dua perlumbaan di Pusingan 10 WSBK Aragon, Sepanyol, mendedahkan dia sudah menerima 'arahan pasukan' daripada pasukannya Aruba.it Racing-Ducati.
Kejayaan yang diperoleh penyandang juara dunia WorldSBK itu membuktikan dia masih lagi pelumba terbaik di litar tetapi ketinggalan 81 mata di belakang pendahulu kejuaraan Toprak Razgatlioglu, peluang dianggap tipis.
Ketika ini, rakan sepasukannya Nicolo Bulega dilihat mempunyai peluang lebih baik apabila hanya ketinggalan 13 mata di belakang Razgatlioglu yang membuat kepulangan semula di Aragon selepas tersisih dua pusingan.
"Sejujurnya, sebelum minggu ini tiada langsung perkara mengenai arahan pasukan," kata Bautista memetik laporan WorldSBK.com.
"Tetapi kerana Toprak berlumba pada minggu ini, kami bercakap sekurang-kurangnya jangan berada menjadi antara Toprak dan Nicolo untuk mengambil lebih mata daripadanya (Bulega).
"Tetapi semalam, Nicolo benar-benar tak bertuah dan dia kehilangan banyak mata."
Pada Perlumbaan Superpole, Bautista terpaksa memintas Bulega yang terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat ketiga dan situasi sama berulang pada Perlumbaan 2.
"Saya melakukan gerakan itu (Perlumbaan Superpole) kerana saya lihat Bulega tidak mampu menyaingi Toprak," kata Bautista.
"Kerana itu, pada masa itu, saya berkata 'Menang atau ketiga, kamu tidak boleh berada di antaranya mereka', jadi saya cuba menang, dan sekurang-kurangnya perbezaan tiga mata lebih daripada dua mata untuk Nicolo.
"Saya hanya memberikan yang terbaik (Perlumbaan 2) dan sama, empat mata (perbezaan) adalah lebih baik daripada lima. Tetapi sudah tentu, saya tidak tahu jika akan ada lagi (arahan pasukan) bagi pusingan seterusnya."
Mengulas peluangnya untuk muncul juara dunia, Bautista percaya dia bergantung kepada kesilapan daripada Bulega dan Razgatlioglu untuk memiliki peluang berkenaan.
"Secara matematik ia masih ada, tetapi saya fikir, kami melihatnya banyak kali yang perkara pelik, tetapi (kejuaraan dunia) bukan sasaran saya ketika ini. Sasaran saya adalah mengekalkan keyakinan dengan jentera, meningkatkan keyakinan dan itu saja."
