ALVARO Bautista Dapat Tiket 'Wildcard' MotoGP, Bakal Beraksi Di GP Malaysia 2023!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/11/20231 min read

DUCATI 'menghadiahkan' penyandang juara dunia WSBK, Alvaro Bautista tiket 'Wildcard' berlumba di MotoGP dan menariknya di Grand Prix (GP) Malaysia yang dijadual pada 10 hingga 12 November depan.

Penunggang kelahiran Sepanyol itu, yang juga bekas pelumba MotoGP kerap dikaitkan dengan kepulangan semula ke kancah elit itu dan turut menghadiri sesi ujian khas di Misano bersama jentera MotoGP Ducati.

Bautista ketika ini mendominasi saingan WSBK dan dalam landasan untuk mengekalkan kejuaraan dunia WorldSBK buat kali kedua berturut-turut. Dan GP Malaysia berlangsung selepas kempen WSBK berakhir iaitu pada 29 Oktober di Jerez.

"Saya amat gembira untuk berpeluang berlumba di MotoGP sebagai pelumba 'Wildcard' di Sepang, litar yang benar-benar saya gemari dan saya gembira untuk kembali kerana ia tidak berada dalam kalendar WSBK," kata Bautista.

Kali terakhir Bautista menunggang jentera MotoGP adalah di Valencia pada tahun 2018.

"Ujian dengan Ducati Desmosedici GP memberikan maklum balas yang positif. Perasaannya bagus dan saya gembira. Saya memang berterima kasih keapda Ducati dan Aruba.it kerana tanpa mereka, peluang ini adalah mustahil.

"Pada masa saya, saya boleh katakan yang perlumbaan MotoGP ini akan menjadi bonus untuk saya dan bukannya keutamaan. Oleh sebab itu kami perlu kekal fokus bagi Kejuaraan WSBK yang satu-satunya perkara penting ketika ini.

"Saya mahu kekal fokus sehingga penghujung musim ini, yang pastinya amat melelahkan dengan begitu banyak perlumbaan dalam tempoh yang singkat.

"Perasaan bersama jentera Panigale V4R adalah baik, dan saya berharap untuk meneruskannya. Jadi, kami perlu mendapatkan penamat yang baik dan pergi ke Malaysia dan bergembira."