ALVARO Bautista Masih Bengang Dengan Andrea Iannone!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/23/20241 min read

ALVARO Bautista nampaknya masih mempunyai 'dendam' terhap Andrea Iannone susulan kenyataan pelumba Itali itu selepas mengharungi perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2024 di Sepang, awal bulan ini secara gantian.

Tiba di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS bagi menggantikan pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio yang dijadual menjalani pembedahan bahu, Iannone mengeluarkan kenyataan yang tidak disenangi oleh Bautista.

Dan kenyataan Iannone yang seperti Bautista pernah beraksi secara sepenuh masa di MotoGP adalah membandingkan catatan masa yang diperoleh pelumba Sepanyol itu yang turut tiba sebagai pelumba 'Wildcard' pada musim 2023.

"Perbandingan tidak pernah bagus, dan saya kecewa yang Andrea mahu membandingkan dirinya dengan saya kerana ia adalah dua situasi yang amat berbeza," kata Bautista kepada Motosprint.

"Saya tidak tahu di mana dia lihat yang dia lebih laju berbanding saya, kerana dia kurang satu pusingan.

"Saya hanya mahu mempertahankan diri saya kerana ia bukan situasi yang baik, dan seperti saya cakap ia adalah dua situasi yang berbeza, juga kerana saya tiba di Sepang dengan kecederaan bahu yang teruk.

"Jika dia melakukan ujian dia mungkin lebih laju, seperti saya tanpa kecederaan, tetapi dengan jika dan kalau tiada apa yang kamu boleh buktikan.

"Jika saya lahir di Hollywood mungkin kini saya adalah pelakon yang terkenal, tetapi saya lahir di Talavera dan saya adalah pelumba. Angka memberitahu kebenaran, dan saya kecewa dengan perbandingan ini.

"Saya bukan mahukan kontroversi tetapi hanya untuk mempertahankan kiri, ia tak masuk akal, tetapi saya tidak mahu ia berakhir seperti itu."

Bautista dilaporkan belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan bahu ketika berlumba di Sepang musim lalu dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17, keputusan sama diperoleh Iannone tahun ini.

Kedua-duanya berlumba di Kejuaraan Superbike Dunia tahun ini dengan Iannone baru saja kembali berlumba selepas dikenakan penggantungan selama empat tahun susulan penggunaan bahan terlarang.