ALVARO Bautista Tak Akan Bersara Selagi Tak Berlumba Dengan Generasi Baharu Ducati Panigale V4R!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/11/20251 min read


ALVARO Bautista ketika ini hanya memiliki kontrak untuk berlumba di WSBK sehingga penghujung musim ini tetapi juara dunia WorldSBK dua kali itu belum berhasrat untuk untuk menggantung sut lumbanya sehingga impiannya direalisasikan.
Dan untuk mencapainya, pelumba kelahiran Sepanyol itu perlu kekal berlumba di WorldSBK bersama Ducati.
Ini kerana menurut Bautista, dia tidak mahu 'bersara' selagi tidak berlumba menggunakan jentera 'Superbike' terbaharu Ducati, Ducati Panigale V4R yang akan mula diperkenalkan di kejuaraan itu pada musim depan.
"Saya tidak berfikir mengenai masa depan saya," kata Bautista yang akan memasuki usia 41 tahun pada November depan.
"Kini saya mengembalikan keyakinan saya dan merasa amat kuat. Ketika ini, saya merasa cukup baik dengan jentera dan saya boleh bertambah baik dan menjadi pelumba yang lebih baik.
"Tahun depan, Ducati akan memperkenalkan model baharu, dan sudah tentu saya mahu berlumba dengan jentera itu kerana saya memulakan karier di worldSBK dengan model baharu Panigale V4R, dan dengan kehadiran model terbaharu, saya tidak boleh pulang ke rumah tanpa berlumba dengan model itu."
Selepas menghabiskan 15 tahun sebagai pelumba di Kejuaraan Motosikal Dunia, Bautista menyertai WorldSBK pada musim 2019 yang menyaksikan Ducati menggunakan model Ducati V4R buat pertama kali di kejuaraan berkenaan.
Selepas dua pusingan WorldSBK musim ini berlangsung, Bautista ketika ini menghuni tangga ke-4 kejuaraan selepas mengumpul 59 mata tanpa sebarang kemenangan dengan rakan sepasukannya di Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega memimpin carta dengan 111 mata selepas menyapu bersih ketiga-tiga perlumbaan di Phillip Island.
Pelumba BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu yang memenangi ketiga-tiga perlumbaan di Pusingan 2 di Portugal mengisi tempat kedua diikuti seorang lagi pelumba Ducati, Danilo Petrucci di kedudukan ketiga.
