ALVARO Bautista Tak Jadi Bersara, Tapi...
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/23/20241 min read


JUARA dunia dua kali WorldSBK bersama Ducati, Alvaro Bautista mengumumkan dia mahu terus berlumba dalam kempen Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) melebihi musim ini.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu sebelum ini berkata perkara membabitkan masa depannya termasuk kemungkinan bersara akan diputuskan pada musim ini namun situasi semasa dikatakan tidak membantunya membuat keputusan itu.
Pada aksi Pusingan 6 di Republik Czech minggu lalu, pelumba pasukan 'kilang' Ducati, Aruba.it Racing - Ducati itu mengharungi kempen mengecewakan malang langsung tidak mengutip sebarang mata pada Ahad.
Begitupun, pelumba kelahiran Sepanyol itu turut menjelaskan penampilannya di Most adalah paling kompetitif setakat ini sebelum menjelaskan mengenai perancangannya.
"Saya mahu meneruskannya," kata Bautista."Kami bercakap dengan Ducati untuk memperbaharui kontrak kerana saya merasakan tidak adil untuk menamatkan karier saya seperti ini.
"Saya perlu kembali menikmati jentera dan merasa kuat bersama jentera. Terutama selepas minggu ini di mana perkara kini menjadi lebih jelas.
"Kami perlu bermula daripada sini untuk meningkat. Kami bercakap dengan Ducati untuk memperbaharuinya (kontrak) dan ia memang niat saya untuk melakukannya.
"Sudah tentu pilihan utama saya adalah untuk kekal bersama pasukan yang sama. Tetapi ia turut bergantung di tangan Ducati, jadi ia tidak hanya bergantung kepada saya 100 peratus."
Selepas mendapat tempat ke-4 pada Perlumbaan 1, Bautista mengharungi kemalangan berganda pada Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2 pada Ahad.
Pada Perlumbaan Superpole, pelumba yang menunggang jentera Ducati Panigale V4R itu mengalami kemalangan ketika mahu memintas rakan sepasukannya, Nicolo Bulega.
Di Perlumbaan 2, Bautista meninggalkan perlumbaan lebih awal selepas dirempuh pelumba pasukan 'satelit' Ducati, Danilo Petrucci di selekoh pertama.
