ALVARO Bautista Ucap Selamat Tinggal Kepada Ducati?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/11/20251 min read

DUCATI Corse dilaporkan tidak berminat untuk menggunakan khidmat juara dunia dua kali WorldSBK, Alvaro Bautista bagi kempen WSBK pada musim depan.

Berdasarkan perjanjian, kontrak yang ditandatangani Bautista turut mengandungi pilihan untuknya kekal bersama pengeluar Itali itu bagi musim 2026.

Begitupun menurut laporan Sky Italia, pilihan itu turut tertakluk kepada klausa yang membenarkan Bautista atau Ducati untuk membatalkan kontrak pilihan itu jika ia dinilai semula sebelum Julai 2025.

Dan media Itali itu melaporkan bahawa Ducati memilih untuk mengaktifkan pilihan berkenaan dan tidak akan meneruskan kerjasama dengan Bautista bersama pasukan 'kilangnya' dalam kempen WorldSBK selepas musim 2025.

Perkembangan itu turut menyaksikan pengakhiran salah satu kerjasama paling berjaya Ducati di WorldSBK yang menghadiahkan pengeluar itu dua gelaran dunia dan 63 kemenangan.

Bautista sebelum ini berkata dia mahu untuk meneruskan kariernya bersama Ducati pada 2026 kerana yang menyaksikan pengeluar itu akan menggunakan generasi terbaharu Ducati Panigale V4.

Begitupun, pada usia yang sudah mencecah 41 tahun pada 2026, 'perpisahan' itu seperti sudah dijangka dengan Bautista ketika ini menghuni tangga ketiga carta kejuaraan WorldSBK selepas lima pusingan.

Ducati sebelum ini melanjutkan kontrak pendahulu kejuaraan musim ini, Nicolo Bulega selama semusim.