AMARAN Alvaro Bautista Buat Toprak Razgatlioglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/7/20251 min read


PELUMBA Aruba.it Racing Ducati, Alvaro Bautista memberi amaran kepada pelumba sensasi Turki, Toprak Razgatlioglu mengenai 'realiti' berlumba di MotoGP.
Menurut pelumba Sepanyol itu, Razgatlioglu tidak akan mendapat perhatian seperti yang diperoleh di WSBK jika dia menamatkan perlumbaan MotoGP di kedudukan belakang.
Razgatlioglu ketika ini sedang kuat dikaitkan dengan perpindahan ke MotoGP dan menariknya seawal musim depan dan perbincangan mengenai perkara itu sudah pun berjalan, menurut pengurusnya Kenan Sofuoglu.
Penyandang juara dunia WorldSBK bersama BMW Motorrad itu ketika ini dilaporkan diminati dua pengeluar Jepun, Yamaha dan Honda tetapi bagi Bautista yang pernah bertahun-tahun berlumba di pentas tertinggi itu, ia bukan keputusan yang mudah.
"Jika saya, saya akan kekal di sini tetapi saya berkata demikian kerana saya pernah berlumba di kelas tertinggi (MotoGP) itu dan mempunyai pengalaman," kata Bautista kepada GPOne.
"Dia, begitupun, tidak pernah berlumba di sana, jadi jelas dia mahu mencubanya. Kamu perlu membuat pertimbangan yang pada perlumbaan kelas produksi dia adalah bintang utama, tetapi dalam kelas tertinggi jika kamu menamatkan perlumbaan di tempat ke-5, kamu bukan sesiapa.
"Semuanya bergantung kepadanya. Saya tidak akan berpindah, tetapi untuk mencuba bukan perkara yang salah dan saya fikir jika kamu bertanya kepadanya, dua akan kata ya."
Sepanjang sembilan tahun di MotoGP, Bautista pernah berlumba bersama Suzuki, Honda, Aprilia dan Ducati.
Dan perpindahannya ke WorldSBK menyaksikannya meraih dua gelaran dunia pada 2022 dan 2023.
Difahamkan, Razgatlioglu sudah pun menerima amaran agar mengadaptasi dengan MotoGP secepat yang mungkin atau berdepan kemungkinan digugurkan.
