AMARAN Aprilia Kepada Marco Bezzecchi, Jorge Martin

Tiada 'team order' atau arahan pasukan setakat ini daripada Aprilia tetapi ada syarat jelas buat dua pelumbanya, Marco Bezzecchi dan Jorge Martin jika mereka terpaksa bersaing sesama sendiri bagi pemburuan gelaran dunia MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/3/20261 min read

APRILIA menegaskan 'team order' atau arahan pasukan setakat ini tetapi ada syarat jelas buat dua pelumbanya, Marco Bezzecchi dan Jorge Martin jika mereka terpaksa bersaing sesama sendiri bagi pemburuan gelaran dunia MotoGP.

Seperti diketahui, kedua-dua pelumba pasukan 'kilang' Aprilia itu ketika ini sedang menghuni dua tangga teratas carta kedudukan kejuaraan dunia MotoGP.

Paling cemerlang pastinya Bezzecchi yang sudah memenangi lima kemenangan perlumbaan GP berturut-turut dengan Martin tiba sebagai kejutan.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilia Racing, Massimo Rivola menegaskan kedua-dua pelumba itu diberikan kebebasan sepenuhnya untuk bersaing sesama sendiri di atas litar, selagi keputusan matematik belum menyingkirkan salah seorang daripada mereka daripada perebutan kejuaraan.

Memetik laporan Sky Italy, Rivola menekankan apa yang paling penting adalah mereka perlu menunjukkan rasa hormat di atas litar.

"Tiada sebarang keputusan (berkaitan team order) dibuat lagi setakat ini. Kedua-duanya bebas berlumba sehinggalah secara matematik menyingkirkan salah seorang daripadanya," kata Rivola.

"Apa yang paling penting adalah perlu wujud rasa hormat di atas litar. Dan mengenai perkara ini, pendirian kami sangat jelas."

Aprilia menikmati permulaan musim 2026 yang cukup dominan dengan Bezzecchi menyapu bersih kemenangan dalam ketiga-tiga Grand Prix (GP) setakat ini.

Malah, rentetan kemenangannya kini berlanjutan kepada lima perlumbaan berturut-turut sejak akhir musim lalu malah turut melakar rekod baharu MotoGP apabila mendahului 121 pusingan perlumbaan secara berturut-turut.

Setakat ini, Bezzecchi memimpin carta kedudukan keseluruhan dengan kelebihan empat mata di hadapan Martin dengan pelumba Sepanyol itu mempamerkan kebangkitan menakjubkan selepas kempen yang dihimpit siri kecederaan tahun lalu, dengan merekodkan penamat keempat di Thailand serta naib juara di Brazil dan Amerika Syarikat.

Prestasi cemerlang Martin selaku pencabar kejuaraan kini mencetuskan 'sakit kepala' yang mungkin tidak dijangka Aprilia.

Sebagai rekod, Martin ketika ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan lain pada musim depan dan ironinya, perkara sama timbul ketika dia menjuarai gelaran dunia pada 2024.