AMARAN Fabio Quartararo kepada Yamaha
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/2/20231 min read
SEPERTI Honda, Yamaha turut bergelut dengan prestasi di MotoGP musim ini dan ia memberi petanda jelas - pelumba bintangnya termasuk juara 2021, Fabio Quartararo berpotensi 'angkat kaki'.
Tak rela menunggu baki kontrak, pelumba bintang Repsol Honda, Marc Marquez membuat keputusan meninggalkan pasukan itu untuk menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini musim depan.
Dan tindakan itu berkemungkinan diikuti Quartararo, terutama selepas kontraknya bersama Yamaha dijadual berakhir pada musim depan.
Selepas bergelar naib juara musim lalu, Quartararo ketika ini sekadar mengisi tangga ke-9 keseluruhan dan dia tidak lagi mahu berselindung mengenai pendapatnya kepada pasukan itu.
"Saya memberikan beberapa komen yang amat jelas kepada Yamaha," kata Quartararo selepas menamatkan perlumbaan di Buriram di tangga kelima.
"Kini, ia terletak di tangan mereka untuk melakukan langkah ke hadapan pada tahun depan. Masih ada 3 perlumbaan berbaki. Sudah tentu penting untuk kamu melakukan yang terbaik pada tiga perlumbaan ini.
"Tetapi kami benar-benar perlu fokus untuk menghadapi tahun depan," kata Quartararo memetik laporan Crash.net.
Seperti kebanyakan pelumba lain, kontrak sedia ada Quartararo bersama Yamaha dijadual berakhir pada tahun depan.
Tahun depan, pelumba kelahiran Perancis itu akan memperoleh rakan sepasukan baharu, Alex Rins yang menggantikan tempat Franco Morbidelli.
Begitupun, pelumba kelahiran Sepanyol itu masih bergelut dengan kecederaan ketika ini selepas mengalami kemalangan teruk ketika Perlumbaan Sprint di Mugello.