'AMARAN' KTM Kepada Jack Miller

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/18/20241 min read

RED Bull KTM mengetepikan spekulasi membabitkan masa depan Jack Miller bersama pasukan MotoGP itu tetapi dia perlu membuktikan dirinya khususnya pada musim ini.

Sebelum pengesahan Pedro Acosta menyertai pasukan satelit Red Bull GasGas, timbul spekulasi yang menyatakan posisi pelumba kelahiran Australia di KTM akan dirampas.

Dan selepas spekulasi itu dinoktahkan, Pengurus Pasukan Red Bull KTM, Francesco Guidotti berkata dia akan memberi sepenuh sokongan kepada Miller namun tetap memberikan amaran.

"Kadang kala sukar untuk faham apa yang berada dalam mindanya," kata Guidotti memetik laporan Crash.net. "Dia berada dalam fasa di mana dia perlu melakukan keputusan yang besar. Ia berada dalam tangannya.

"Dia hampir 30 tahun. Untuk seorang pelumba dia masih agak muda jika dia mahu untuk meneruskannya di tahap yang tertentu. Tetapi seperti dia katakan, pelumba datang dengan amat cepat.

"Kadang kala sukar untuk memahami apa yang berada dalam mindanya.

"Dia perlu berkelakukan lebih baik tahun ini, mungkin seperti yang tidak pernah dia lakukan sebelum ini.

"Dia adalah yang terbaik, dari sudut semangat berpasukan. Dia menguasainya. Dia sempurna dengan pasukan dan rakan sepasukannya. Apabila kamu mencapai sesuatu tahap, ia membabitkan pendekatan mental.

Mengulas mengenai spekulasi membabitkan kontrak pelumba yang menyaksikan Miller turut akan mengharungi musim terakhirnya pada 2024, Guidotti berkata ia perlu dilupakan.

"Kamu tidak pernah tahu jangkaan daripada Jack. Dia mampu melakukan apa saya, dan juga tiada apa-apa pada masa yang sama.

"Segala-galanya berada di tangannya. Kami akan cuba untuk memberinya sepenuh sokongan."

Miller tiba di KTM dari Ducati dan dilihat sebagai aset untuk pasukan itu merapati jurang dengan pengeluar Itali itu namun dia menamatkan kempen di kedudukan ke-11 dengan rakan sepasukannya, Brad Binder di kedudukan ke-4.