FRANCESCO Bagnaia memberi 'amaran' kepada Jorge Martin yang perasaan gemuruh boleh merencatkan peluang pelumba pasukan Pramac Ducati itu dalam usaha merangkul kejuaraan dunia MotoGP pertamanya.
Martin ketika ini dilihat mempunyai peluang cukup cerah untuk mengesahkan gelaran dunia apabila memiliki kelebihan 24 mata berbanding Bagnaia menuju pusingan terakhir MotoGP musim ini di Barcelona, minggu ini.
Ketika ditanya TNT Sport sama ada perasaan gemuruh akan menjadi cabaran buat Martin, jawapan Bagnaia: "Sudah tentu. Untuk Jorge, ia pasti sukar kerana ini kali pertama dia bertarung merebut kejuaraan dunia MotoGP.
"Jadi saya tahu bagaimana perasaannya dan saya fikir dia akan cuba melakukan yang semaksimum mungkin, tetapi kadang kala gemuruh boleh membuatkan kamu agresif dan melakukan kesilapan.
"Untuk itu, satu-satunya perkara yang saya perlu lakukan adalah terus memberi tekanan dan cuba untuk menang serta berharap."
Pada musim lalu, Bagnaia mempunyai kelebihan 21 mata berbanding Martin menuju pusingan terakhir di Valencia dan memenanginya dengan penuh bergaya.
Tetapi pada musim 2022, pelumba Ducati Lenovo itu yang turut mempunyai kelebihan besar 23 mata di depan pencabar utamanya, Fabio Quartararo dari Yamaha pada pusingan terakhir tampil goyah apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-9.
Pada musim ini, Bagnaia sudah menjuarai 10 perlumbaan GP termasuk di GP Malaysia yang berlangsung penuh menarik.
"Kami akan cuba," kata Bagnaia. "Kami tahu betapa kuatnya saya di Barcelona pada Jun, tetapi ia pasti akan lebih rumit kerana keadaan kali ini lebih sejuk dan mudah untuk melakukan kesilapan.
"Jadi penting untuk saya kekal tenang, cuba mengelak sebarang kesilapan, cuba menang kedua-dua perlumbaan dan kekal seperti ini. Itu satu-satunya perkara yang boleh saya buat iaitu cuba menang."