AMARAN Zulfahmi!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/19/20251 min read


PROGRAM yang direncana ZK Racing terhadap pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli pada tahun ini berpotensi tergendala, dedah Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin.
Bekas pelumba negara yang kini bergelar pengurus pelbagai program perlumbaan dan pembangunan bakat sukan permotoran dua roda negara menjelaskan dana yang diperlukan oleh pelumba kelahiran Terengganu itu masih belum mencukupi.
Dan perkara itu penting untuk diselesaikan khususnya bagi memastikan pelumba berusia 17 tahun itu dapat mengharungi keseluruhan kempen musim ini di Eropah secara kompetitif.
“Kami amat menghargai semua bantuan yang diberikan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta beberapa penaja lain seperti Terengganu Inc dan RCB tetapi berdasarkan apa yang kami ada sekarang, ia masih belum mencukupi," kata Zulfahmi ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam ketika menyambut kepulangan Hakim Danish ke tanah air selepas lebih dua bulan berkelana berseorangan di Eropah.
Seperti diketahui, Hakim Danish pada musim ini kekal beraksi dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP).
Setakat ini, Hakim Danish berjaya menampilkan persembahan cemerlang apabila meraih tempat kedua dalam keempat-empat perlumbaan yang ditawarkan dalam dua pusingan RBMRC dan kini menghuni tangga teratas carta keseluruhan pelumba kejuaraan itu.
Selain itu, prestasi yang ditampilkan pada pusingan 1 JrGP di Estoril, Portugal cukup baik apabila muncul naib juara sekali gus memberi petunjuk potensi besar untuknya mencabar gelaran musim ini.
Zulfahmi berkata dia bimbang jika kekangan membabitkan dana berterusan, ia boleh menjejaskan peluang Hakim Danish untuk terus mendapat pakej yang kompetitif.
“Kalau kita sekadar nak menyertai perlumbaan, kita boleh pilih pakej bajet yang murah. Tapi kalau matlamat kita adalah untuk menang, usaha dan perbelanjaan yang diperlukan adalah jauh berbeza,” katanya.
“Kita tidak mahu usaha tahun ini sia-sia. Jadi kita perlu terus cari dana tambahan agar perancangan pasukan dapat diteruskan sepenuhnya,” katanya.
Tetapi, bekas pelumba Moto3 dan WorldSSP negara itu menegaskan bahawa isu penajaan tidak akan membebani Hakim kerana pasukan akan memastikan pelumba muda itu kekal fokus pada perlumbaan sahaja.
“Soal penajaan biar saya dan pihak SIC uruskan. Hakim Danish hanya perlu fokus kepada aksi di litar,” katanya.
