'AMBIL Positif Keputusan Di Le Mans'

Penamat di tempat ke-10 yang diperoleh pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli pada perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis 2026 di Le Mans disifatkan sebagai positif berikutan cabaran getir yang dihadapinya susulan kekangan cuaca

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/10/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengambil positif keputusan yang diperolehnya pada perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis 2026 di Le Mans yang menyaksikannya berdepan cabaran getir sebelum melepasi garisan penamat di tempat ke-10.

Berlumba bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, pelumba kelahiran Terengganu itu menjelaskan dia tetapi bersyukur dengan keputusan diperolehnya sekali gus terus konsisten membawa pulang enam mata berharga dari Le Mans.

Terdahulu, impian pelumba berusia 18 tahun itu untuk memburu keputusan lebih baik tidak berhasil apabila pertukaran cuaca yang mengakibatkan keadaan litar menjadi basah dan licin sekaligus memusnahkan rentaknya.

Malah, perlumbaan boleh diibaratkan sangat menduga mental dan fizikal tatkala hampir separuh daripada barisan pelumba terpaksa gigit jari selepas gagal menamatkan saingan akibat terjatuh.

"Saya rasa kurang yakin ketika bersaing dalam keadaan litar basah. Mungkin pelarasan jentera juga tidak begitu sesuai dengan keadaan perlumbaan, jadi saya agak sukar untuk mendapatkan keyakinan penuh ketika menunggang," kata Hakim Danish.

"Saya cuba mengekalkan rentak dan kedudukan kerana jika terlalu memaksa, kemungkinan untuk terjatuh pada perlumbaan ini memang tinggi."

Mengulas lanjut, Hakim Danish mengakui dia sangat yakin sepanjang hujung minggu ini terutama ketika keadaan litar kering kerana pelarasan jentera sangat baik.

"Tetapi bagi perlumbaan hari ini, kami tidak mempunyai sebarang sesi latihan mahupun data dalam keadaan hujan dan terus berlumba dalam situasi itu. Apa pun, saya ambil semua perkara positif daripada hujung minggu ini dan akan terus bekerja keras sebagai persediaan menghadapi perlumbaan seterusnya di Catalunya nanti."