AMI Suzuki Motorsport, Adam Norrodin Raih Podium Berganda Di R1 MSBK 2025, Sertai Pentas ARRC 2026?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/16/20251 min read


PUSINGAN pertama Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, minggu lalu menyaksikan pasukan AMI Suzuki Motorsport yang dipacu pelumba berpengalaman, Adam Norrodin tampil dengan keputusan memberangsangkan.
Beraksi dalam kelas elit MSBK1000A yang turut disertai pasukan dan pelumba berkualiti, bekas pelumba Moto2 dan WorldSBK negara itu berjaya meraih podium berganda dalam kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan.
Pada Perlumbaan 1, Adam yang menunggang jentera Suzuki GSX-R1000R menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keputusan sama diulangi pada Perlumbaan 2.
"Minggu yang hebat untuk Suzuki Malaysia di MSBK 2025," kata pasukan itu. "Menakjubkan untuk memulakan musim depan kejayaan podium berturut-turut, menunjukkan prestasi yang menyakinkan dan konsisten.
"Dengan persaingan yang hebat sepanjang minggu dengan jentera yang semakin menampilkan potensinya, kami meraih momentum langkah demi langkah, podium demi podium."
Apa yang pasti, kejayaan yang dilakar Adam dikatakan bakal memberi impak besar kepada Suzuki Malaysia dan difahamkan, syarikat itu semakin serius dan agresif dalam program perlumbaan mereka.
Dan jika berterusan, ia memberikan gambaran pasukan ini bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar di peringkat Asia iaitu dengan menyertai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dengan kapasiti pemuh seawal musim depan.
Malah berdasarkan sumber, Suzuki Malaysia juga sedang bersiap untuk menyertai Pusingan ke-2 ARRC yang dijadual berlangsung di Sepang pada bulan depan.
Jika berlaku, ia bakal menjadi pencapaian besar buat syarikat itu selain Adam.
Begitupun hakikat yang perlu diakui, cabaran di ARRC jauh lebih besar berbanding MSBK. Justeru, AMI Suzuki Motorsport dan Adam perlu melakukan persiapan jauh lebih rapi termasuk ujian jentera serta strategi perlumbaan yang lebih kompetitif.
Seperti diketahui, saingan ARRC turut disertai pelumba-pelumba terbaik di rantau ini termasuk dari Jepun dan Australia dan cukup kompetitif. Setakat ini, hanya empat pengeluar menyertai ARRC iaitu Honda, Yamaha, BMW dan Ducati.
