ANDREA Dovizioso Kembali Ke Yamaha Ganti Cal Crutchlow, Tapi...
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/19/20241 min read


ANDREA Dovizioso rasmi akan kembali menunggang jentera Yamaha M1 - jentera terakhir ditunggangnya di MotoGP bersama pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP pada minggu ini ketika ujian persendirian Yamaha MotoGP di Misano, Itali.
Pelumba Itali itu yang menamatkan kariernya di pentas MotoGP pada musim 2022 menggantikan tempat pelumba Britain, Cal Crutchlow yang masih belum pulih daripada kecederaan.
Ironinya, Dovizioso mengumumkan persaraannya ketika kempen MotoGP 2022 berbaki enam pusingan dengan Crutchlow yang memang pelumba ujian Monster Yamaha tampil menggantikan tempatnya.
Crutchlow ketika ini masih dalam proses pemulihan susulan komplikasi yang diperolehnya selepas menjalani pembedahan tangan.
Setakat ini, pelumba veteran itu sudah pun terlepas dua penampilan secara 'wiladcard' di Mugello dan Silverstone.
"Saya bersimpati yang Cal masih belum pulih, dan saya berharap dia akan pulih dengan cepat," kata Dovizioso yang memiliki 14 kemenangan MotoGP sepanjang kariernya bersama Ducati dan 1 bersama Honda.
"Apapun, saya gembira dan teruja untuk mendapat peluang untuk kembali menunggang jentera MotoGP sekali lagi, dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Yamaha atas peluang ini.
"Saya berharap dapat memberikan sumbangan kepada pembangunan jentera ini," kata Dovizioso yang penampilan terakhirnya sebagai pelumba MotoGP sepenuhnya masa adalah di Misano.
Ketika di Mugello dan Silverstone, slot Crutchlow diisi oleh pelumba WorldSBK Yamaha, Remy Gardner.
Begitupun, pelumba kelahiran Australia berusia 26 tahun itu dikatakan mahu memberikan tumpuan kepada aksinya di WorldSBK yang menyaksikan Dovizioso akan berada di litar bersama Fabio Quartararo dan Alex Rins.
Selain Yamaha, pelumba-pelumba Honda akan turut berada di Misano minggu ini untuk menjalani ujian sebelum menghadapi Pusingan ke-12 MotoGP yang dijadual berlangsung di Aragon, Sepanyol hujung bulan ini.
