ANDREA Iannone Ganti Diggia Di Malaysia, Valencia?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/18/20241 min read

BEKAS pelumba MotoGP penuh konroversi, Andrea Iannone dilaporkan menjadi calon utama mengisi kekosongan ditinggalkan pelumba VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio pada dua pusingan terakhir kejuaraan itu musim ini.

Di Giannantonio atau dikenali sebagai Diggia sah tidak akan beraksi di Grand Prix (GP) Malaysia dan GP penutup tirai musim ini di Valencia, Sepanyol selepas dijadualkan menjalani pembedahan bahu selepas GP Thailand.

VR46 Ducati sehingga kini masih belum membuat pengumuman rasmi mengenai siapa yang bakal menggalas tugas berkenaan.

Tetapi berdasarkan laporan media Itali, nama Iannone yang pernah beraksi bersama Ducati di MotoGP menjadi sebagai pilihan pasukan itu.

Memetik laporan Motosprint dan GPOne, Iannone yang memiliki pengalaman selama tujuh musim di MotoGP berkemungkinan membuat kepulangan semula ke perlumbaan elit itu.

Seperti diketahui, Iannone tidak lagi menunggang jentera MotoGP sejak pusingan terakhir musim 2019 selepas dikenakan penggantungan selama empat tahun susulan penggunaan bahan terlarang.

Pelumba kelahiran Itali itu membuat kepulangan semula ke kancah perlumbaan dengan menyertai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) tahun ini bersama pasukan Go Eleven Ducati.

Malah berdasrkan prestasi yang ditampilkannya, pasukan itu sudah pun mengesahkan kontrak lanjutan kepadanya untuk kekal di WorldSBK musim depan.

Dan dengan 'hubungan' yang dimilikinya bersama Ducati, Iannone mungkin dapat membuat kepulangan singkat ke MotoGP sebagai pengganti Diggia.

Malah menurut laporan GPOne, turut terbabit dengan perjanjian itu adalah Valentino Rossi.

Sebagai info, kempen WSBK musim ini berakhir di Jerez minggu ini.