PELUMBA kontroversi Itali, Andrea Iannone menjadi 'pilihan' tiga pelumba yang menghuni carta teratas MotoGP ketika ini untuk mengisi kekosongan di grid bagi dua pusingan terakhir musim ini - Grand Prix Malaysia dan Valencia.
Grid di dua pusingan terakhir itu kosong selepas pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio terpaksa menamatkan kempennya lebih awal selepas GP Thailand selepas dijadual menjalani pembedahan bahu.
Dan dengan saingan WSBK 2024 sudah pun menutup tirainya, beberapa pelumba Ducati daripada kejuaraan itu dikaitkan dengan 'tiket' berkenaan antaranya naib juara, Nicolo Bulega, juara kategori satelit Danilo Petrucci dan Iannone.
Begitupun, nama Iannone tampak seperti menjadi pilihan terutama bagi tiga pelumba teratas dalam carta ketika ini, Jorge Martin, Francesco Bagnaia dan Marc Marquez.
Iannone sebelum ini pernah beraksi di MotoGP di antara musim 2013 hingga 2019 bersama pasukan Ducati, Suzuki dan Aprilia.
Dia kemudian dikenakan penggantungan daripada belumba selama empat tahun susulan kesalahan doping yang ironinya berlaku selepas GP Malaysia pada 2019.
Selepas penggantungan itu berakhir, Iannone pantas diikat pasukan di WorldSBK iaitu GoEleven Ducati malah berjaya melakar kemenangan ketika pusingan di Aragon, Sepanyol.
Berikut adalah kata-kata Martin, Pecco dan Marquez mengenainya.
Jorge Martin
"Bagi saya, bagus untuk melihatnya kembali ke MotoGP selepas apa yang dia harungi. Dia pergi ke Superbike, dia memenangi perlumbaan. Dia menunjukkan berada di tahap yang baik.
"Saya masih ingat di World Ducati Week yang dia dua saat lebih laju berbanding saya. Jadi saya fikir dia masih laju dan lihat sama ada dia masih mampu berlumba (jentera MotoGP). Tetapi saya fikir ia peluang yang baik untuk dia membuktikan kepada orang lain yang dia masih kuat."
Francesco Bagnaia
"Saya fikir Iannone akan menikmatinya. Jelas Malaysia bukan litar yang mudah untuk berlumba.
"Kita melihat pada musim lalu (Alvaro) Bautista apa yang dia lakukan. Tetapi saya fikir dia akan menikmatinya. Dia memang mengenali jentera MotoGP dan dia akan mengambil peluang ini sebagai tempoh yang menggembirakan.
Marc Marquez
"Bagi saya pasti menarik untuk melihat Iannone (di MotoGP) kerana saya pernah mengharungi pertarungan yang hebat dengannya.
"Sudah tentu amat sukar untuk terus beraksi di MotoGP selepas empat tahun dan mampu untuk menjadi laju. Mungkin dia adalah superman dan dia boleh melakukannya kerana dia mempunyai bakat yang cukup baik dan saya fikir pendekatan seperti itu seperti hadiah."