MARC Marquez diakui tampak serasi ketika membuat debutnya bersama Ducati Lenovo pada ujian rasmi pertama MotoGP 2025 di Barcelona bersama seragam berwarna merah terang.
Selain jentera berwarna merah dengan pelekat 93, Marquez juga mengenakan sut lumba jenama Alpinestars berwarna merah dan menunggang jentera Ducati GP24 dan GP sepanjang ujian sehari itu.
Hasilnya bekas pelumba Repsol Honda itu melakukan catatan ke-4 terpantas keseluruhan sesi selepas melengkapkan 49 pusingan bersama jentera dan pasukan baharunya.
Sering melihat garaj Ducati sebagai pencabar ketika bersama Repsol Honda dan Gresini Ducati, Marquez berkata dia selesa berada di garaj pasukan itu sekalipun merasai sedikit aneh.
"Tidak, ia sesuatu yang menyeronokkan," kata Marquez memetik laporan Crash.net. "Terutama apabila kamu tiba di pasukan yang berakhir lebih baik pada tahun-tahun kebelakangan ini.
"Kamu mempunyai tanggungjawab untuk menjadi laju kerana kamu berada di pasukan terbaik di grid. Jadi satu keseronokkan untuk berada di garaj berkenaan.
"Tetapi benar melihat (Davide) Tardozzi (di garaj sedikit aneh), selepas segala perseteruan yang saya dengan (Andrea) Dovizioso.
"Apapun kami sentiasa mempunyai hubungan yang baik dan sopan. Jadi ia membantu, juga kerana kami sudah mengenali satu sama lain."
Memenangi tiga perlumbaan Grand Prix pada 2024 bersama jentera Ducati GP23, Marquez perlu menerima hakikat yang kelibatnya di Ducati Lenovo dilihat sebagai pencabar kejuaraan bagi musim 2025.
Mengakui berpuas hati dengan ujian pertama bersama GP25, Marquez perlu menunggu sehingga Februari tahun depan untuk kembali menunggang jentera berkenaan.