ANEH, Tapi Marc Marquez Tak Kecewa Tak Naik Podium Di Qatar

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/11/20241 min read

SELEPAS bertahun-tahun bergelut, juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez akhirnya mengakui terlepas peluang mengisi posisi podium di perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar 2024 sebagai tidak mengecewakannya.

Pelumba 'Rookie' Ducati (Gresini Ducati) itu menamatkan aksi di Losail, Qatar di kedudukan keempat namun hanya dibezakan 1.5 saat di belakang pemenang tempat ketiga, Jorge Martin.

Tidak seperti Perlumbaan Sprint, pelumba kelahiran Sepanyol itu memperoleh permulaan yang baik dan menjadi pencabar kepada trio pelumba di hadapannya hampir keseluruhan perlumbaan sekalipun pada satu ketika dipintas pelumba muda, Pedro Acosta.

Dan Marquez sememangnya nampak tenang apabila kembali memintas Acosta di pertengahan perlumbaan sebelum melepasi garisan penamat sebagai pelumba terbaik menunggang jentera Desmosedici GP23.

Berkata kepada MotoGP.com, Marquez berkata dia sememangnya cuba untuk bersaing merebut podium namun ia cukup sukar.

"Mereka (Francesco Bagnaia, Brad Binder, Martin) lebih laju berbanding saya. Tetapi ia bukan satu kekecewaan kerana saya sudah berkata sebelum ini, posisi kami adalah ke-4, 5, 6.

"Malah kami berjaya meraih tempat ke-5 semalam (Perlumbaan Sprint) dan hari ini ke-4.

"Podium sentiasa hampir. Tetapi benar yang saya masih belum merasa 100 peratus selesa untuk menunggang seperti yang saya gemari. Tetapi kita lihat nanti adalah kami dapat meningkat bagi perlumbaan seterusnya."

Mengulas lanjut, Marquez mengakui yang Martin lebih baik ketika keluar selekoh berbandingnya namun memiliki kelebihan di kawasan lain berikutan perubahan yang dilakukan kepada jentera.

"Pasukan melakukan kerja yang amat baik," kata Marquez yang meninggalkan Qatar di kedudukan keempat keseluruhan kejuaraan dunia MotoGP 2024, ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu Bagnaia.