ANGKAT' Modenas Elegan EX 250 (2026), Dapat 'Top Box' Givi Percuma, RM 17.7k!

Dari sudut kosmetik, Modenas Elegan EX 250 (2026) kini tampil dengan tiga pilihan warna dan grafik yang katanya kontemporari dan lebih sedap mata memandang iaitu Light Sage Green, Matte Brown, dan Bright Grey Blue

TERKINI

7/16/20261 min read

MODENAS kembali 'memeriahkan' pasaran skuter maxi tempatan apabila mengumumkan kemas kini model popularnya, Modenas Elegan EX 250 (2026) yang kini hadir dengan 'top box' secara percuma bersama harga jualan RM 17,700 (asas).

Dari sudut kosmetik, Modenas Elegan EX 250 (2026) kini tampil dengan tiga pilihan warna dan grafik yang katanya kontemporari dan lebih sedap mata memandang iaitu Light Sage Green, Matte Brown, dan Bright Grey Blue.

Tetapi paling menarik dan berbaloi adalah setiap pembelian akan menerima 'top box' atau kotak simpanan belakang jenama GIVI bernilai RM 500 secara percuma.

Menurut Modenas, kehadiran 'top box' GIVI ini bukan sahaja menaikkan rupa paras skuter berkenaan, malah melengkapkan lagi ruang simpanan sedia ada di bawah pelana.

Justeru, ia pastinya memberi kelegaan buat penunggang yang sering pening kepala mencari ruang untuk meletakkan barangan peribadi, baju hujan atau topi keledar.

Begitupun, promosi 'top box' GIVI percuma ini adalah tertakluk kepada terma, syarat dan ketersediaan stok.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata promosi yang ditawarkan menunjukkan komitmen syarikat itu dalam menawarkan produk yang memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berkembang.

"Penampilan yang baharu bersama top box GIVI percuma meningkatkan nilai pemilikan sebaik sahaja ia diserahkan kepada pelanggan. Ruang simpanan tambahan menjadikan skuter ini lebih sesuai untuk pelbagai kegunaan sepanjang minggu, sama ada berulang-alik di dalam bandar, menguruskan urusan harian atau melakukan perjalanan yang lebih jauh."

Tiada perubahan dari sudut spesifikasi mekanikal dengan Modenas Elegan EX 250 (2026) kekal dipadankan dengan ejin 249 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Fi, SOHC yang dipadankan bersama transmisi automatik CVT.

Kuasa berada pada angka 22.4 Hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm.

Ciri-ciri menarik antaranya Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran, tangki bahan api 13 liter, ruang simpanan bawah pelana luas, soket pengecas USB, lampu LED serta panel meter digital LCD.

Modenas Elegan EX 250 (2026) akan mula berada di cawangan pengedar sah Modenas di seluruh negara bermula Julai 2026.