AoS Malaysia Tampilkan OTG 2024, 23-25 Feb Ini Di Maeps!

TERKINI

2/7/20242 min read

ART of Speed (AoS) Malaysia buat julung kalinya menganjurkan acara membabitkan gaya hidup 'outdoor' Off The Grid (OTG) 2024 yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 25 Februari ini di Maeps, Selangor.

Sebagai info, OTG sebelum ini tampil sebagai acara 'poket' kepada AoS Malaysia bermula pada tahun 2022 sebelum dinaikkan 'pangkat' tahun ini.

Sejak pengenalannya di AoS, penerimaan terhadap OTG dikatakan cukup baik dan mendapat sambutan positif terutama daripada kalangan peminat dan berjaya membina komunitinya tersendiri.

Seperti AoS, Maeps atau Malaysia Agro Exposition Park akan menjadi 'tuan rumah' kepada OTG 2024 dan dijadual berlangsung di Dewan A yang mempunyai ruang pameran seluas 150,000 kaki persegi.

Selain itu, OTG 2024 turut berlangsung di kawasan luar seluas empat ekar di Maeps.

Menurut AoS ketika majlis pelancaran OTG 2024, hari ini, OTG diinspirasikan dari ‘Fieldstyle’ yang merupakan acara ‘outdoor’ tahunan terbesar di Jepun.

Dan untuk edisi pertama OTG 2024, AoS menyasarkan sekitar 30,000 pelawat dengan acara bermula pada 10 pagi hingga 10 malam.

Berikut adalah 5 tarikan utama di OTG 2024:

1. Pameran jenama-jenama gaya hidup 'outdoor terbesar (Montanic Adventure Store, Anbot Store, Campguru, Eiger Adventure dan pelbagai lagi jenama)

2. Brew Festa

3. BBQ Showdown

4. Makers Jamboree dan Pasor Dinda Ladies Market

5. Aktiviti Keluarga (Skimpool, Surf Skate, Roller Disko, Piala Strider)

Selain itu, turut berlangsung adalah persembahan tradisional dan akustik, perhimpunan van camper, mini RC Crawler dan banyak lagi.

Sebagai penganjur kepada acara membabitkan gaya hidup automotif terbesar Asia Tenggara, AoS Malaysia menerusi Pengarah Festival OTG 2024, Asep Ahmad Iskandar berkata pihaknya akan cuba 'menyelitkan' acara berkaitan automotif di OTG 2024.

Menariknya, turut tersedia juga kepada pengunjung adalah cabutan bertuah.

Menariknya, cabutan bertuah yang dijalankan di OTG 2024 berlangsung setiap jam dan ia terbuka kepada semua pengunjung yang membelanjakan RM 100 dalam satu resit.

Secara keseluruhan, jumlah hadiah yang boleh dimenangi adalah bernilai RM 50,000 yang berupa peralatan perkhemahan, barangan berjenama, pakaian untuk 'outdoor' dan banyak lagi.

Kepada yang berminat untuk hadir menyaksikan OTG 2024, jualan tiket secara atas talian sudah pun dibuka dan dijual pada harga RM 35 (tiga hari) manakala pas harian dijual pada harga RM 15.

Begitupun, setiap pembelian tiket atas talian akan dikenakan cas pemprosesan RM 3.

Kepada yang mahu membuat pembelian tiket secara terus, harga yang ditawarkan adalah RM 50 (3 hari) dan RM 20 (1 hari).

Seperti biasa, tiada tiket dikenakan kepada kanak-kanak 12 tahun ke bawah dan pemegang pas OKU.

Pembelian secara atas talian boleh dilakukan di laman web rasmi https://otg.artofspeedmy.com/ticket/