APA Beza Ducati Dan Honda? 'MACAM Motosikal Budak Dan Orang Dewasa' - Alex Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/4/20241 min read

ALEX Marquez nampaknya masih menyimpan dendam terhadap Honda dengan kenyataan terbaharunya terhadap jentera MotoGP pengeluar Jepun itu agak kontroversi dan boleh mengguris hati.

Alex yang juga adik kepada juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez meninggalkan pasukan satelit LCR Honda untuk menyertai Gresini Ducati pada musim 2023.

Menariknya, abangnya kemudian mengikuti langkahnya ke garaj Gresini pada musim ini yang disifatkan sebagai meningkatkan peluangnya untuk menambah koleksi gelaran dunianya.

"Keluar daripada Honda untuk menyertai Ducati adalah seperti meninggalkan motosikal kanak-kanak ke motosikal orang dewasa," kata Alex memetik laporannya DAZN.

"Ia lebih selesa dan membenarkan kamu untuk menjadi lebih kompetitif sejak daripada awal. Ia memberikan kamu lebih banyak rasa selamat dan sensasi yang lebih baik.

"Marc (tahun lalu) mengharungi lebih daripada 30 kemalangan (jatuh) kerana dia melangkaui batasan jentera yang ditunggangnya.

"Saya langsuh tak mempengaruhi Marc untuk datang ke Ducati. Dia amat bijak, dia mengetahui daripada mana dia datang.

"Jika kamu melihat pelumba-pelumba Ducati, kamu memiliki gaya yang berbeza dan pada akhirnya, kami semua menunggang jentera dengan laju dan ia memberikan kamu banyak keyakinan.

"Marc ada bertanya kepada saya beberapa perkara, dan saya memberikan pandangan saya sebagai seorang adik. Saya melihat segala-gala yang berlaku sejak 2020 dan ia sesuatu yang sukar untuknya.

"Perasaan kompetitif dan bersaing untuk merebut kejuaraan membuatkan keyakinan diri kamu kembali," kata Alex yang mengakui abangnya akan mampu bersaing untuk merebut kejuaraan pada musim ini.

Bersama Honda, Alex menamatkan saingan di tangga ke-14, 16 dan 17 sepanjang tiga tahun bersama pengeluar itu di MotoGP. Tetapi dengan Ducati, dia mengakhiri kempen musim lalu di tangga ke-9 dan meraih kemenangan pada Perlumbaan Sprint di Silverstone dan Malaysia.