APA Cerita Dengan Skuer Elektrik Yamaha E01 Di Malaysia, Bila Nak Dilancar Secara Rasmi?

7/24/20231 min read

ANDAI berpandukan kepada laporan media antarabangsa, Yamaha E01 - skuter elektrik yang sudah pun membuat kemunculan di Malaysia (Pelbagai acara anjuran HLYM) - sudah pun ditunggang pengguna di negara asalnya, Jepun.

Tetapi seperti laporan sebelum ini, pemilikannya bukanlah secara pembelian tetapi berdasarkan sistem sewaan dan cukup terhad. Justeru, ia dilihat lebih kepada percubaan namun tetap satu perkembangan yang mengujakan.

Situasi itu turut mencetus persoalan bila skuter berkenaan bersedia untuk digunakan oleh orang awal di Malaysia.Dan jawapannya adalah berkemungkinan besar pada tahun depan, namun maklumat ini bukan datang dari 'mulut' Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), tetapi masih mengikuti laporan media antarabangsa.

Sejak membuat kemunculannya tahun lalu, pihak HLYM memang rancak menjalankan tunggang uji skuter berkenaan dan ia kerap dilihat di ibu pejabatnya di Sg Buloh.

Jadi berdasarkan info berkenaan, ada kemungkinan skuter berkenaan juga bakal menemui 'pemiliknya' di Malaysia dalam tempoh yang sama - sekalipun kemudahan pengecasan pantasnya masih belum siap sepenuhnya.

Sedikit info mengenai Yamaha E01, ia adalah skuter elektrik yang menggunakan platform skuter popular ICE (enjin pembakaran dalaman) Yamaha, NMax dari sudut kerangka dan sebagainya.

Dari sudut kuasa, motor elektrik yang dipadankan kepada Yamaha E01 dikatakan berupaya menghasilkan kuasa 8.1kW (10.8 Hp) dan tork 30.2 Nm. Jadi sebagai perbandingan, ia mempunyai kekuatan seperti skuter bersesaran 125 cc.

Yamaha mendakwa, setiap cas penuh bateri boleh membawa skuter berkenaan dan penunggangnya sejauh 100 km. Dan kelajuan tertingginya adalah sekitar 100 km/j.

Berbalik kepada sistem pengecas, Yamaha berkata ada tiga pilihan pengecas tersedia untuk Yamaha E01 iaitu:

  • Pengecas konvensional (kediaman) – 6 jam hingga penuh

  • Pengecas pantas (pengedar) – 1 jam hingga 80 peratus

  • Pengecas mudah alih – 14 jam hingga penuh

Di Jepun, sistem sewaan Yamaha E01 dikatakan sedikit pelik dan mempunyai pelbagai peraturan yang aneh seperti penyewa tidak dibenarkan mengecas skuter itu di pusat sewaan atau pengedar Yamaha.