'APA Marc Marquez Buat Di Honda Musim Lalu Menakjubkan' - Zarco

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/16/20241 min read

JOHANN Zarco menghamburkan pujian kepada bekas bintang pasukan Repsol Honda, Marc Marquez atas apa yang dilakukan juara dunia MotoGP enam kali itu musim lalu.

Bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh Marquez yang menyertai Ducati daripada Honda, Zarco menyertai Honda musim ini selepas meninggalkan pasukan Pramac Ducati.

Dan selepas menguji sendiri jentera Honda RC213V musim lalu, jentera yang dilabel paling buruk di grid MotoGP musim lalu dan berdepan banyak kesulitan, ia membuktikan kesukaran yang dilakukan pelumba Sepanyol itu.

"Saya kagum dengan apa yang Marc lakukan dengan jentera ini," kata Zarco. "Hanya dia seorang mampu untuk berada di kelompok depan.

"Malah sekalipun dia kemalangan atau tidak menamatkan perlumbaan dengan baik, dia sentiasa menjadi yang terlaju. Bagi saya, adalah mustahil untuk melakukannya dengan jentera lama (Honda RC213V).

"Saya memperoleh jentera yang baharu. Saya dapat menikmatinya, dan ia adalah hebat."

Mengulas lanjut, Zarco mengakui jentera spesifikasi 2024 RC213V lebih laju berbanding tahun lalu.

"Bagi saya ya. Sekurang-kurangnya. Jadi ia hebat. Satu nikmat untuk membuka babak baharu," kata bekas juara dunia Moto2 itu.

Zarco dalam pada itu mengakui ketiadaan Marquez mengubah situasi di Honda.

"Sudah pasti. Cara berfikir mereka berubah," katanya. Pasukan 'Kilang' akan memanfaatkan pasukan LCR. Kami akan memiliki empat jentera 'Kilang', sama seperti Ducati dan Pramac.

"Saya tiba pada masa yang baik untuk menikmati manfaatnya. Jentera ini benar-benar baru dan dibangunkan dengan baik. Saya memerlukan kepercayaan yang kami boleh melakukannya."