APA pilihan Jorge Martin Ada Jika Tinggalkan Aprilia?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/31/20252 min read

JORGE Martin pada minggu ini mencipta kejutan apabila mengesahkan hasratnya untuk meninggalkan Aprilia bukan sekadar khabar angin.

Sekalipun turut menyatakan akan memberikan Aprilia 'peluang kedua' apabila dia kembali berlumba selepas pulih daripada kecederaan, ia tidak mengubah situasi yang 'kerosakan' sudah pun berlaku di antaranya dan pengeluar Itali itu.

Selepas menjulang gelaran dunia MotoGP bersama Pramac Racing, Martin bertindak menyertai Aprilia pada musim ini tetapi ia nampak tidak begitu menjadi.

Dan jika keputusan meninggalkan pasukan itu betul-betul terjadi, ia pasti mencipta kekecohan terutama membabitkan pasaran pelumba.

Berikut adalah empat pasukan yang diketahui memiliki kekosongan pada musim 2026.

HONDA HRC CASTROL

Jika Martin masih memburu pasukan 'kilang', Honda HRC adalah satu-satunya pasukan yang memiliki status itu terutama jika pasukan itu enggan melanjutkan kontrak Luca Marini.

Martin juga mempunyai 'kelebihan' apabila rakan baiknya, Aleix Espargaro kini pelumba pasukan ujian HRC sekalipun pelumba Sepanyol itu menafikan terbabit dengan siituasi itu.

Antara yang boleh menjadi 'pengganggu' pastinya pemenang GP Perancis, Johann Zarco selain pelumba KTM, Pedro Acosta yang turut dikaitkan dengan pasukan itu.

PRAMAC Yamaha

PRAMAC Racing adalah pasukan yang cukup sinonim dengan Martin dan ia menjadi pasukan yang membenarkan pelumba Sepanyol itu merangkul gelaran dunia MotoGP pada musim lalu tetapi dengan jentera berbeza berbanding ketika ini iaitu Yamaha.

Seperti diketahui, Pramac Yamaha bakal mempunyai satu kekosongan apabila kontrak pelumbanya, Jack Miller bakal tamat pada penghujung musim ini.

Tetapi Miller ketika ini jelas cukup selesa di Pramac malah berjaya menjadi pelumba terbaik Yamaha apabila menamatkan perlumbaan di Silverstone di tempat ke-7.

Selain Miller, satu lagi halangan Martin untuk menyertai Pramac adalah perkhabaran yang penyandang juara WorldSBK, Toprak Razgatlioglu yang katanya hanya 'selangkah' untuk menyertai pasukan itu.

VR46 DUCATI

JENTERA Ducati Desmosedici GP bukan sesuatu yang asing buat Martin dan satu-satunya pasukan yang memiliki kekosongan pada musim depan dan menggunakan jentera pengeluar Itali itu adalah VR46 Ducati.

Dan lebih menarik, VR46 Ducati adalah pasukan yang mengambil status Pramac musim lalu sebagai pasukan satelit rasmi yang membenarkan pasukan itu memiliki jentera spesifikasi terbaharu.

Tetapi dengan prestasi yang ditampilkan Franco Morbidelli ketika ini, situasi itu tampak sukar jika dikira hubungan pelumba Itali itu dengan VR46. Selain Franco, turut dikaitkan dengan VR46 Ducati adalah pelumba bintang KTM, Acosta.

LCR HONDA

PILIHAN yang mungkin paling kurang menarik buat Martin tetapi jika berpandukan kepada keputusan yang diperoleh Zarco bersama Honda RC213V spesifikasi 'kilang' pada musim ini, ia bukan sesuatu yang mustahil.

Seperti diketahui, kontrak Zarco bersama LCR Honda berakhir pada musim ini dan jika pelumba Perancis itu dinaikkan pangkat, satu-satunya peluang untuk menyertai Honda adalah dengan menyertai pasukan satelitnya.