APA Terjadi Kepada Ai Ogura Amat Mengecewakan - Trackhouse Aprilia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/18/20251 min read

AI Ogura meneruskan prestasi memberangsangkan di MotoGP apabila meraih tempat ke-8 perlumbaan Grand Prix tetapi keputusan itu kemudian dibatalkan susulan pelanggaran peraturan teknikal.

Apa yang 'menyakitkan', pelumba rookie MotoGP dari Jepun itu terpaksa bersusah payah untuk memperoleh kedudukan itu selepas memulakan perlumbaan di petak ke-15.

Alasan yang diberikan adalah jentera yang digunakan oleh Ogura melanggar peraturan pelanggaran membabitkan ECU (Unit Kawalan Elektronik) jenteranya.

Kesilapan teknikal itu berlaku apabila pasukannya menggunakan perisian yang salah kepada ECU jentera Ogura yang tidak mematuhi peraturan homologasi MotoGP.

Dan sekali pun Trackhouse Aprilia menegaskan ia tidak mempunyai sebarang kelebihan, penyertaan juara dunia Moto2 tahun lalu itu tetap dibatalkan.

"Hukuman selepas perlumbaan kepada Ai amat mengecewakan," kata Prinsipal Trackhouse Aprilia, Davide Brivio.

"Kami perlu menerima keputusan Steward tetapi saya merasa kasihan kepada Ai kerana perkara ini tidak memberinya sebarang kelebihan dan amat mengecewakan kehilangan mata daripada perlumbaan yang hebat dan prestasi hebat kami lakukan di litar.

"Ia tidak mengambil apa-apa daripada apa yang dia lakukan. Ia hanya versi perisian yang salah dalam ECU. Dia melakukan perlumbaan yang hebat, kebangkitan yang menakjubkan tetapi kami akan melupakannya dan akan meneruskannya."

Ogura mencipta kejutan pada pusingan pertama MotoGP di Buriram, Thailand apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima.

"Saya gembira dengan minggu ini, terutama pada Ahad. Tetapi ia sesuatu yang menyedihkan juga kerana keputusan ini dibatalkan," kata Ogura.