'APA Yang Dibuat Oleh Marc Marquez Aneh'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/3/20251 min read

BOS Ducati Lenovo, Davide Tardozzi berkata situasi yang menyaksikan pelumbanya Marc Marquez 'terlepas' kedudukan selaku pendahulu di awal perlumbaan Grand Prix Thailand membuatkan jantungnya berdegup kencang.

Selepas memperoleh permulaan sempurna, juara dunia lapan kali itu secara tiba-tiba memperlahankan jenteranya di pusingan ke-7 dan membenarkan adiknya, Alex Marquez yang beraksi bersama Gresini Ducati memimpin perlumbaan.

Begitupun, pelumba kelahiran Sepanyol itu merampas semula kedudukan itu di saat-saat akhir sebelum menjelaskan apa yang berlaku adalah disebabkan kebimbangannya terhadap peraturan tekanan tayar minimum.

"Dia memperlahankan jenteranya dengan cara yang aneh, kerana dia boleh memperlahankan jenteranya dengan banyak cara," kata Tardozzi. "Kadar denyutan jantung saya berada pada (200 bpm), tetapi dengan segera, ketika di selekoh 5 dia berada di belakang Alex dengan cara yang biasa, saya memahami (apa yang sedang berlaku)."

Tardozzi dalam pada itu berkata apa yang dibuat oleh Marquez membuktikan kepintaran yang dimiliki bekas pelumba Honda itu.

"Pada akhirnya, dia (Marc) seorang yang bijak," kata Tardozzi. "Dia kekal di belakang Alex dan tidak cuba untuk menekan seperti dia lakukan pada pusingan ke-23, di mana kemudian dia melakukan jurang besar pada satu sektor dan setengah saat lagi pada satu sektor lain.

"Ini bermakna yang Marc memang benar-benar boleh menjarakkan diri sejak daripada awal perlumbaan."

Tardozzi turut menjelaskan dia akan melihat semula kepada data yang disediakan pasukan untuk meneliti punca kepada 'kesilapan' itu.

"Sejujurnya kami perlu memuat turun data dan lihat apa yang berlaku kerana kami cuba menjangka, tetapi kami tidak tahu angka yang sebenar.

"Saya fikir jurutera-jurutera kami sentiasa melakukan pengiraan dengan betul angka suhu. Tetapi pada akhir kami perlu melihat data, kerana bercakap tanpa mengetahui apa yang berlaku tidak bagus."