BOS Aprilia Racing, Massimo Rivola mengakui cabaran menghalang dominasi Ducati di MotoGP cukup sukar tetapi barisan pelumbanya musim depan mempunyai kualiti untuk merapatkan jurang dengan pengeluar itu.
Aprilia pada musim 2025 dikuatkan dengan kelibat juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin, Marco Bezzecchi, Raul Fernandez dan 'rookie' Ai Ogura yang beraksi bersama pasukan satelit, Trackhouse.
Kehadiran Martin daripada Pramac Ducati memberi makna dia berpeluang untuk menyamai rekod dua legenda, Eddie Lawson (1988-89) dan Valentino Rossi (2003-2004) untuk menjuarai gelaran berturut-turut bersama pasukan berbeza.
Tetapi Ducati yang dikuatkan dengan kehadiran juara dunia lapan kali, Marc Marquez bergandingan dengan Francesco Bagnaia di pasukan 'kilang' Ducati Lenovo jelas pasukan pilihan.
Tetapi menurut Rivola, adalah realistik untuk mempercayai Aprilia yang berjaya memenangi 4 perlumbaan Grand Prix dan 4 Perlumbaan Sprint sejak 2022 mampu memberikan saingan sengit kepada Ducati.
"Jelas Ducati adalah tanda aras. Saya fikir adalah realistik untuk menjangkakan yang sekurang-kurangnya tiga pelumba Aprilia akan merapatkan jurang," kata Rivola memetik laporan Crash.net.
"Jangkaan terhadap Jorge sebagai juara dunia adalah agak tinggi. Tetapi kami tidak mahu meletakkan tekanan sekarang. Keutamaan ketika ini adalah untuk membantu mereka memahami jentera.
"Saya fikir mereka akan merapatkan jurang, setakat ini cabaran itu nampak cukup sukar tetapi saya yakin yang kami tidak akan mengalah," kata Rivola yang mengakui mendapat maklumbalas daripada bekas pelumba Ducati memberikan mereka pengetahuan tambahan untuk menambah baik jentera mereka.
Aprilia akan meneruskan kempen mereka dengan sesi ujian pra-musim di Sepang pada Februari depan.