APRILIA Akui Gandingan Martin, Bez Tak Ideal

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/25/20241 min read

APRILIA terpaksa menelan hakikat pahit yang menyenaraikan dua pelumba baharu dalam kempen MotoGP adalah tidak ideal untuk pasukan berstatus 'kilang' - pengakuan yang dibuat selepas mereka mendapatkan khidmat Jorge Martin dan Marco Bezzecchi.

Pengeluar Itali itu terpaksa membariskan pelumba baharu bermula kempen 2025 selepas kehilangan khidmat Aleix Espargaro (bersara) diikuti pengumuman mengejut Maverick Vinales menyertai Tech3 KTM.

Martin dari Sepanyol menyertai pasukan berpangkalan di Noale itu selepas 'tewas' pemburuan tempat di pasukan Ducati Lenovo kepada Marc Marquez manakala Bezzecchi menyusul beberapa hari lalu.

Sekalipun mengakui tidak ideal, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola berkata keputusannya masih tepat berikutan kualiti dan status yang dimiliki kedua-dua bekas pelumba Ducati itu.

"Satu-satunya persoalan yang kami ada adalah kerana tidak ideal untuk mengubah dua pelumba pada masa yang sama," kata Rivola memetik laporan motorsport.com.

"Tetapi dengan dua pelumba yang benar-benar berbakat, kami meletakkan kepercayaan kepada individu yang betul. Ia tidak ideal tetapi kami juga mempunyai pasukan satelit dan saya berharap pasukan satelit (Trackhouse) memberikan kami sedikit kesinambungan.

"Sekali lagi, ia tidak ideal tetapi apabila kamu mempunyai gandingan pelumba seperti Martin dan Bezzecchi kamu perlu gembira.

"Kami memiliki dua bakat terbaik sejak beberapa musim lalu dan tidak boleh memberikan alasan tidak memberikan mereka jentera terbaik."

Tidak seperti pengeluar Jepun, Aprilia bersama KTM ketika ini dilihat memiliki jentera yang berkemampuan untuk menandingi kehebatan jentera Ducati dalam kempen MotoGP.

Aprilia berjaya merangkul dua kemenangan bersama jentera RS-GP pada musim lalu malah menjadi satu-satunya menghalang dominasi Ducati untuk membolot kesemua perlumbaan yang sudah berlangsung musim ini dengan memenangi GP Amerika Syarikat.