APRILIA 'Berpisah' Dengan Kontraktor Terbabit Insiden Intip

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/31/20241 min read

APRILIA membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan kontraktornya yang mencipta kontroversi 'intip' ketika Grand Prix (GP) Austria 2024.

Kecoh di media sosial, baru-baru ini yang memaparkan video bos Ducati Lenovo, Davide Tardozzi melakukan konfrontasi terhadap seorang individu yang memakai baju Aprilia yang didakwa melakukan imbasan terhadap jentera Ducati GP23 milik pasukan VR46.

Sekalipun memakai baju Aprilia, menurut laporan Crash.net, individu berkenaan bukan sebahagian atau staf pasukan perlumbaan Aprilia.

Dan sedikit pelik, kehadirannya di paddock MotoGP di Red Bull Ring bukan disebabkan oleh kerja, namun untuk bercuti manakala tablet yang digunakan difahamkan bukan milik Aprilia namun persendirian.

Setakat ini, tidak dapat diketahui apakah motif individu itu melakukan tindakan itu dan peranannya bersama Aprilia juga tidak didedahkan.

Bukan satu rahsia atau kesalahan yang pasukan-pasukan di MotoGP menangkap gambar dan merakam video jentera lain malah krew pasukan-pasukan bertanding juga sering dilihat melakukan intipan di kawasan pit.

Tetapi, tindakan yang dilakukan oleh individu berkenaan jelas melampaui batas dan tidak dibenarkan oleh Aprilia yang jelas berang apabila ia dilakukan menggunakan baju pasukan.