'APRILIA Boleh Jadi Pencabar Utama Ducati'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/6/20241 min read

APRILIA berpotensi memberikan ancaman serius kepada Ducati di MotoGP, kata Davide Brivio yang juga Prinsipal pasukan yang terbentuk hasil pembubaran RNF Racing, Trackhouse Racing Aprilia.

Kepada yang tak tahu, Brivio adalah watak penting kepada kejayaan Valentino Rossi di Yamaha dan Joan Mir di Suzuki sebelum beralih angin menyertai Formula 1.

Selepas dikhabarkan menyertai Honda, pengendali kelahiran Itali itu kemudian memilih pasukan satelit Aprilia, Trackhouse sebagai destinasi berikutnya dengan kempen dijadual membuka tirai hujung minggu ini di Qatar.

"Gembira untuk bekerjasama dengan Aprilia," kata Brivio. "Sudah tentu di MotoGP Ducati amat kuat. Mereka mendominasi kejuaraan tahun lalu dan mereka adalah jentera yang semuanorang mahu kalahkan.

"Tetapi saya fikir Aprilia berada di posisi yang hebat untuk mencabar Ducati, bersama-sama dengan KTM. Jadi ia juga amat mengujakan, untuk cuba mencabar pasukan yang hebat dan sedang mendominasi.

"Kerana itu bagus untuk berada di Aprilia ketika ini."

Brivio, 59 dalam pada itu turut kagum dengan kerja yang dilakukan oleh Aprilia terutama dari sudut aerodinamik.

"Banyak kerja yang dilakukan dari audut aerodinamik pada jentera 2024. Sebenarnya daripada apa yang saya lihat, Aprilia ditiru oleh pasukan lain. Jadi ia hebat. Ia sudahpun rasa seperti pencapaian yang baik.

"Jadi saya fikir Aprilia berada di posisi untuk menjadi pencabar utama. Sudah tentu Ducati mengambil masa beberapa tahun untuk berada di posisi ini.

"Jadi harapnya Aprilia bergerak ke arah yang sama, tanpa memandang rendah pencabar lain."

Trackhouse Aprilia pada musim ini dipacu dua pelumba, Miguel Oliveira yang menggunakan jentera Aprilia RS-GP24 dan Raul Fernandez, RS-GP 2023.