APRILIA Dah Ada 'Pelan B' Jika Jorge Martin Angkat Kaki

Pengeluar Itali, Aprilia tidak panik dan dilaporkan sudah pun ada perancangan jika mereka terlepas khidmat penyandang juara MotoGP, Jorge Martin pada musim depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/3/20251 min read

Aprilia MotoGP
Aprilia MotoGP

APRILIA dilaporkan sudah pun mempunyai perancangan seandainya mereka terlepas khidmat penyandang juara MotoGP, Jorge Martin pada musim depan.

Menurut laporan media di Itali, pengeluar motosikal gergasi Itali itu sudah pun menghubungi seorang pelumba jika situasi itu berlaku.

Dan pelumba itu, memetik laporan Sky Itali adalah pelumba Tech3 KTM, Enea Bastianini.

"Kedua-dua pihak sudah pun berhubung," lapor Sky Italia.

Begitupun, perpindahan itu hanya akan berlaku jika Martin benar-benar meningkalkan Aprilia pada 2026.

Aprilia ketika ini sedang berdepan kemelut bersama pelumba bintangnya itu yang sudah pun mengesahkan hasrat untuk meninggalkan pasukan itu menggunakan klausa kontraknya.

Selain Aprilia, satu lagi pasukan dikatakan turut berminat dengan Bastianini, menurut laporan itu lagi.

Bekas pelumba Ducati Lenovo, Bastianini kehilangan tempatnya di pasukan itu kepada Marc Marquez.

Bersama Tech3 KTM, pelumba kelahiran Itali itu bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaiknya malah jauh ketinggalan berbanding rakan sepasukannya, Maverick Vinales dan dua pasukan 'kilang' KTM, Pedro Acosta dan Brad Binder.

Keputusan terbaiknya pada musim ini adalah di tempat ke-7 pada GP Amerika Syarikat.