APRILIA Dedah Ada 1 Pengeluar Tak Benarkan Jorge Martin Jalani Ujian

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/18/20251 min read

APRILIA membuat permohonan kepada MotoGP agar membenarkan mereka menjalankan ujian persendirian bersama pelumbanya, Jorge Martin selepas penyandang juara dunia itu berdepan kecederaan teruk dan terlepas beberapa pusingan musim ini.

Begitupun, cadangan berkenaan didakwa tidak mendapat sokongan semua pihak, malah ada satu daripada 5 pengeluar (termasuk Aprilia) yang beraksi di kejuaraan berkenaan enggan bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilia Racing, Massimo Rivola.

Seperti diketahui, Martin yang menukar jentera daripada Ducati ke Aprilia berdepan tempoh sukar apabila mengalami kecederaan teruk susulan kemalangan di Sepang ketika ujian pra-musim.

Dan ketika dijangka mampu sempat pulih untuk menghadapi pusingan pertama di Buriram, Thailand, pelumba itu sekali lagi berdepan kecederaan teruk ketika menjalani ujian motocross di Sepanyol.

Justeru, Aprilia berharap Martin akan diberikan peluang untuk menguji jentera Aprilia RS-GP kerana berdasarkan peraturan MotoGP, ujian menggunakan jentera rasmi kepada yang tidak mendapat konsesi adalah terhad.

Menurut laporan Crash.net yang memetik temuramah bersama pengulas MotoGP, Jack Appleyard, perkara itu dijangka dibincangkan menjelang pusingan 3 MotoGP di Austin, Amerika Syarikat.

"Saya tidak tahu jika mesyuarat (di Austin) adalah untuk perkara itu, tetapi ya, kami ada membuat permohonan," kata Rivola. "Ideanya adalah untuk menawarkan pelumba yang sudah terlepas banyak perlumbaan satu hari ujian.

"Saya fikir ia idea tepat untuk sebarang kes. Saya bersimpati kepada pelumba-pelumba yang tidak memperoleh perkara ini sebelum ini, tetapi pasukan mereka sepatutnya sudah mengetahui idea.

"Saya fikir ia juga adil untuk dilakukan, kerana pada Jumaat apabila kamu datang kembali, ia sudah pun hari kelayakan.

"Sejujur-jujurnya, saya fikir ia adalah idea yang bagus, ia bukan saja bagus bermula pada tahun depan. Saya difahamkan semua orang bersetuju dengan perkara itu melainkan satu.

"Kami memerlukan kesepakatan penuh untuk membuat perubahan peraturan ketika musim berlangsung. Jika kami tidak mendapatkannya, saya rasa kami akan kehilangan peluang untuk melakukan sesuatu yang bagus untuk sukan ini dan keselamatan penunggang."

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai kenapa ada pihak membantah perkara itu, Rivola berkata:

"Saya benar-benar tidak dapat memahaminya. Saya tidak boleh berkata yang Jorge adalah ancaman kepada Ducati untuk kejuaraan. Dia jelas tidak. Bagi saya, ia mengenai melakukan perkara yang baik untuk kejuaraan."