APRILIA Didedah Cuba Pancing Quartararo Guna 'Jentera', Tapi 'Duit' Yamaha Lagi Memikat!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/8/20241 min read

APRILIA dilaporkan cuba 'memancing' khidmat Fabio Quartararo dengan kontrak bernilai € 4 juta (RM 20.6 juta) setahun dan sudah memulakan 'gerakan' mendapatkan pelumba Perancis itu beberapa bulan lalu.

Memetik laporan Motorsport, selain jumlah berkenaan, pengeluar Itali itu berharap Quartararo akan terpikat dengan kemampuan jentera Aprilia RS-GP yang dikatakan mampu memberi saingan sengit kepada Ducati.

Begitupun, jumlah yang disediakan itu cukup jauh daripada apa yang ditawarkan oleh Yamaha kepada juara dunia MotoGP 2021 itu untuk kekal € 12 juta (RM 61.8 juta) setahun.

Dan ia menyaksikan Quartararo akan terus berada bersama pasukan itu sehingga musim 2026.

Menurut laporan berkenaan, Aprilia sedar mereka tidak mampu untuk bersaing dengan Yamaha dari sudut kewangan ketika mula 'memancing' Quartararo beberapa bulan lalu.

Tetapi pengeluar itu meletakkan harapan kualiti yang dimiliki jenteranya, RS-GP mampu memikat pelumba itu, situasi yang sama terjadi kepada pelumba legenda Honda, Marc Marquez.

Marquez yang juga juara dunia enam kali MotoGP meninggalkan kontrak berstatus mega € 20 juta (RM 103 juta) setahun untuk menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing untuk berlumba menggunakan jentera yang lebih kompetitif.

Aprilia pada musim ini meletakkan sasaran untuk menjadi pencabar paling kuat kepada Ducati dan pelumbanya, Maverick Vinales membuktikannya dengan memenangi Perlumbaan Sprint di Portimao.

Tetapi malangnya, kegagalan kotak gear pada perlumbaan utama menyaksikan pasukan itu masih bergelut dengan isu ketahanan.

Ducati sebelum ini mengesahkan khidmat penyandang juara dunia, Francesco Bagnaia dengan nilai yang lebih rendah daripada apa yang diperoleh Quartararo iaitu € 6 juta (RM 30.9 juta) setahun.

Selain Aprilia, pengeluar lain seperti Ducati, KTM dan Honda memiliki perancangan tersendiri dan tampak tidak berminat dengan Quartararo.